Di tengah-tengah kemelut yang melanda institusi adat di Negeri Sembilan, lima NGO tampil menyatakan pendirian terbuka dengan berhimpun di hadapan Istana Hinggap di Seremban bagi menyerahkan memorandum sokongan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Himpunan yang berlangsung seawal pukul 11.30 pagi itu menyaksikan penyertaan beberapa NGO iaitu Pertubuhan Otai Reformasi Negeri Sembilan (Profans), Pertubuhan Sejarah dan Adat Perpatih Daerah Kuala Pilah, Pertubuhan Adab dan Budaya Mertang, Persatuan Kebajikan Insan serta Pertubuhan Kebajikan Otai Reformis.
Memorandum tersebut diserahkan sebagai tanda sokongan padu serta taat setia mereka kepada Tuanku Muhriz dan institusi adat pepatih, dalam usaha mempertahankan kestabilan negeri di saat berlakunya polemik yang semakin memuncak.
Presiden Profans, Muhamad Kamel Yassin menegaskan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai payung kedaulatan negeri tidak seharusnya dipertikaikan.
"Yang penting Tuanku mesti dikekalkan. Itu prinsip kami sebagai rakyat Negeri Sembilan," katanya kepada media selepas menyerahkan memorandum tersebut.
Memorandum berkenaan telah diterima oleh Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Azizi Mohamad Ali.
Mengulas lanjut, Muhamad Kamel turut menyentuh mengenai krisis yang sedang berlaku dalam institusi adat, dengan menegaskan kesediaan rakyat untuk bersama-sama mencari jalan penyelesaian.
Mengambil inspirasi daripada simbolisme bendera Negeri Sembilan, katanya kepentingan kesatuan antara Raja, Undang dan rakyat menjadi tunjang kestabilan negeri.
"Gabungan ketiga-tiga elemen tersebut amat penting bagi memastikan kestabilan negeri terus terpelihara tanpa campur tangan pihak berkepentingan," kata Muhammad Kamel.
Dia turut menyuarakan harapan agar kemelut yang berlaku dapat diselesaikan segera bagi mengelakkan ia dimanipulasi oleh pihak tertentu demi kepentingan peribadi.





