Empat penuntut program Doktor Farmasi (PharmD) di Universiti Alexandria, Mesir merayu Perdana Menteri Anwar Ibrahim campur tangan membantu menyelesaikan isu pengiktirafan kelayakan yang menjejaskan masa depan akademik dan kerjaya mereka.
Mereka berharap kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian segera supaya dibenarkan menduduki peperiksaan kelayakan di bawah Lembaga Farmasi Malaysia (LFM), sekali gus melengkapkan pengajian dan menjalani latihan profesional di negara ini.
Menurut mereka, campur tangan perdana menteri mungkin menjadi jalan paling cepat untuk menyelesaikan kemelut berkenaan selepas Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) mengakui program PharmD yang diikuti setara dengan program terdahulu yang pernah diiktiraf.
Siswi tahun lima PharmD Clinical, Nurul Izzah Afifah Mustapha memberitahu Malaysiakini dia berharap kerajaan memberi perhatian terhadap nasib pelajar yang terkesan.

"Saya berharap agar Perdana Menteri memberi perhatian kepada isu kami, dan berharap agar Perdana Menteri dapat bantu kami supaya kami dapat menjalani latihan di dalam negara dan dapat berkhidmat untuk Malaysia.
"Saya memohon jasa baik Perdana Menteri yang prihatin agar memberi perhatian kepada isu ini demi masa depan kami semua," katanya.
Seorang lagi siswi, Mariatul Karimah Shak yang kini berada di tahun empat pengajian berkenaan, turut berharap isu pengiktirafan program itu dapat diselesaikan secepat mungkin.
"Besar harapan kami agar Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat memberi perhatian terhadap isu ini dan membantu kami meneruskan perjuangan untuk menggapai cita-cita," katanya.

Pada 29 Mei lalu, Malaysiakini melaporkan kekecewaan Noor Haslina Abdullah apabila anaknya, Nurul Izzah, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan kelayakan LFM yang diperlukan bagi melengkapkan pengajian.
Noor Haslina, isteri kepada bekas pengarah Bahagian Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bahri Mohammad Zin berkata permohonan anaknya ditolak Kementerian Kesihatan (KKM) kerana program PharmD atau Doktor Farmasi yang diikuti tidak diiktiraf di Malaysia.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan memandangkan anaknya melanjutkan pengajian ke universiti berkenaan melalui surat tawaran yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Razlan Rafii turut membangkitkan isu sama, dengan meluahkan kekecewaan terhadap cara birokrasi kerajaan menangani masalah berkenaan.

Anak Razlan, Nur Ain Hazwani juga penuntut tahun lima pengajian PharmD di universiti tersebut.
Menurut Razlan, ramai rakyat berdepan pengalaman serupa apabila aduan dan rayuan tidak mendapat perhatian sewajarnya sehingga ada yang terpaksa mengambil tindakan lebih keras untuk mendapatkan penyelesaian.
"Jika mengikut saluran profesional, seolah-olah ia tidak wujud dalam kamus pentadbiran kerajaan.
"Saya berharap pihak-pihak yang memegang kuasa membuka mata dan hati. Anggaplah masalah ini seperti masalah anak sendiri," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Mohammad Shatar Sabran memberi jaminan bahawa pihaknya bersama KKM dan JPT sedang berusaha mencari penyelesaian bagi membantu graduan yang terlibat.
"MQA dan JPT komited untuk mencari jalan penyelesaian untuk jangka masa pendek dan panjang bagi membolehkan graduan diiktiraf LFM.
"JPT, KKM, MQA akan mengadakan perbincangan segera. Bagi kohort yang telah pulang ke Malaysia akan dibantu agar mereka boleh praktis sebagai farmasi," katanya kepada Malaysiakini.
Dalam perkembangan berkaitan, seorang lagi penuntut pengajian itu, Fatin Raihani Mohd Fadzil, berharap kerajaan dapat mempertimbangkan langkah yang boleh mempermudah urusan mereka.

"Ini penting agar kami tidak ketinggalan berbanding rakan-rakan seangkatan yang lain," katanya.
Nur Ain pula merakamkan penghargaan kepada MQA atas kesediaan dan komitmen yang ditunjukkan dalam usaha membantu serta mengiktiraf kelayakan ijazah mereka menerusi proses akreditasi yang berkaitan.
Menurutnya, perkembangan itu memberi sinar harapan kepada pelajar dan keluarga yang terkesan dengan isu berkenaan.
"Bagi isu ijazah farmasi pula, kami amat berharap agar penyelesaian yang menyeluruh dapat dicapai dalam masa terdekat.
"Kami menyeru agar KKM, KPT, LFM dan MQA serta semua pihak yang berkaitan dapat bekerjasama secara proaktif bagi menyelesaikan perkara ini demi kepentingan para pelajar dan graduan yang terlibat.
"Kami menaruh harapan yang tinggi agar segala usaha yang sedang dilaksanakan akan membuahkan hasil dan membawa kepada penyelesaian yang adil serta tuntas dalam waktu terdekat," katanya lagi.





