Pelakon Zarif Ghazzi menjelaskan bahawa Kudrat 1968: High Council bukan sekadar mengangkat isu buli, sebaliknya berkisarkan realiti hierarki, senioriti dan politik yang wujud dalam masyarakat.
Artikel Berkaitan: Zarif Ghazzi Dedah Alami Kesan Sampingan Bawa Watak Abbas – ‘Dah Sampai Ke Telinga, Berdenyut-Denyut’
Artikel Berkaitan: Bawa Siti Nurhaliza Naik Beca, Zarif Ghazzi Anggap Momen Indah – ‘Rezeki Sangat Bermakna’
Lebih dari kisah buli

Ketika ditemui , Zarif menjelaskan bahawa setiap tindakan dan kekerasan yang dipaparkan dalam naskhah berkenaan mempunyai sebab tersendiri.
Menurutnya, filem itu turut melengkapkan jalan cerita yang telah dibina sejak episod pertama siri tersebut.
Perjalanan Kudrat 1968 ini panjang. Episod kelima ini menutup cerita dan menjawab segala persoalan daripada episod pertama hingga keempat. Segala soalan kenapa dia bertindak sebegitu dan kenapa dia kejam, semuanya akan terjawab dalam filem ini.
Jadi, saya akan cakap perkara ini berkali-kali, sudah tentu ada yang cakap kenapa masih ada lagi cerita yang macam ini.
Apa yang boleh saya katakan, Kudrat 1968 lebih dari kisah buli. Ia mengenai hierarki, senioriti dan politik. Ia lebih dari itu.
Zarif berkata demikian ketika ditemui di tayangan perdana filem Kudrat 1968: High Council yang berlangsung di TGV Suria KLCC, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, pelakon drama Antara Dua Syurga ini menegaskan bahawa naskhah berkenaan turut mengetengahkan kesan buruk buli yang tidak sepatutnya dinormalisasikan, sekali gus memberi ruang kepada penonton memahami penderitaan yang dirasai.
Mesej mengenai buli ini boleh disampaikan dengan pelbagai cara.
Jadi, untuk saya sebagai pelakon, adalah tanggungjawab untuk menyampaikan mesej mengenai buli dari segi visual supaya semua rakyat Malaysia bukan sahaja mengetahui, tetapi turut merasai betapa teruknya kesan buli itu sendiri.
Berkongsi pengalamannya, Zarif mengakui turut membesar dengan menonton filem aksi berunsur keganasan, namun bersyukur kerana didikan ibu bapanya membentuk dirinya sehingga tidak terpengaruh dengan unsur tersebut.
Kadang-kadang saya tengok ada juga kes buli membabitkan kanak-kanak bawah umur. Sebab itulah setiap karya yang dihasilkan di Malaysia mempunyai klasifikasi umur seperti 16 tahun ke atas atau 18 tahun ke atas dan ada juga yang 21 tahun ke atas.
Jadi saya percaya sikap dan perilaku kanak-kanak di luar itu mencerminkan cara mereka berkomunikasi dengan ibu bapa mereka sendiri.
Sejujurnya, saya membesar dengan KL Gangster 1, KL Gangster 2 dan KL Gangster 3 tapi alhamdulillah, saya tidak mahu banding dengan anak-anak lain, tapi saya bersyukur cara ibu bapa membesarkan saya menjadikan saya manusia seperti sekarang.
Sekadar info, filem Kudrat 1968: High Council yang diarahkan oleh Zulaikha bersama Khairi Asyraff menampilkan Zarif Ghazzi, Mierul Aiman, Dai Fuad, Chech Harith, Evertts Gomes dan Akmal Asyraf sebagai barisan pelakon.
Naskhah yang bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 29 Oktober ini merupakan prekuel kepada Projek: High Council (2023) dan Kahar: Kapla High Council (2024), dengan kisah yang memfokuskan asal-usul pembentukan hierarki rahsia dalam kalangan pelajar.
The post [VIDEO] ‘Tanggungjawab Saya Sebagai Pelakon Untuk Sampaikan Mesej Tentang Kesan Buruk Buli’ – Zarif Ghazzi first appeared on OHBULAN!.





