Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Johor bagi penggal baharu menyaksikan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dikekalkan, selain empat muka baharu dilantik menganggotai pentadbiran kerajaan negeri.
Kesemua 10 Adun itu mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail dalam Istiadat Pengurniaan Surat Cara dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Bukit Serene, di Johor Bahru, hari ini.
Exco baharu itu ialah ADUN Kukup Md Israk Abdullah, P. Pannir Selvam (Perling), Hasrunizah Hassan (Pulai Sebatang) dan Dr Muhammad Naqib Md Ghazali (Panti).
Md Israk dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar, Pannir Selvam (Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya), Dr Muhammad Naqib (Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan) dan Hasrunizah (Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).
Enam ADUN yang dilantik semula sebagai Exco pula kekal menerajui portfolio masing-masing.
Majlis istiadat itu turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi (gambar atas), Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor Datuk Dr Abdul Rahim Ramli dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Ridha Abd Kadir.
Ahad lepas, Onn Hafiz yang juga ADUN Machap mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar bagi penggal kedua berturut-turut selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
PRN Johor Sabtu lepas menyaksikan BN memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN, sekali gus diberi mandat membentuk kerajaan negeri bagi penggal baharu.
Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor baharu:
1. Md Israk Abdullah (Kukup) – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar
2. Datuk Mohd Jafni Md Shukor (Bukit Permai) – Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan
3. P. Pannir Selvam (Perling) – Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya
4. Hasrunizah Hassan (Pulai Sebatang) – Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
5. Mohd Hairi Mad Shah (Larkin) – Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi
6. Mohd Fared Mohd Khalid (Semerah) – Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam
7. Ling Tian Soon (Yong Peng) – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar
8. Lee Ting Han (Paloh) – Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia
9. Mohamad Fazli Mohamad Salleh (Bukit Pasir) – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi
10. Dr Muhammad Naqib Md Ghazali– Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan





