Selepas lebih tiga dekad menjadi pentas paling berprestij dalam mengiktiraf karya terbaik industri muzik tempatan, Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) bakal melakar sejarah baharu apabila buat pertama kalinya dianjurkan di Kuching, Sarawak.
Lebih istimewa, edisi Jubli Perak ini turut menyaksikan TVS dipilih sebagai penyiar rasmi dan penganjur bersama, sekali gus membawakan malam anugerah berprestij itu kepada penonton di seluruh negara menerusi televisyen dan platform digital.
Bukan sekadar meraikan ulang tahun ke-25, AIM25 turut hadir dengan pelbagai pembaharuan yang mencerminkan perkembangan industri muzik Malaysia, termasuk pengenalan kategori baharu serta usaha memberi ruang yang lebih besar kepada bakat dari seluruh negara.
AIM25 buka lembaran baharu, Kuching dipilih sebagai tuan rumah pertama
Diasaskan oleh Recording Industry Association of Malaysia (RIM) pada tahun 1993, AIM telah menjadi platform utama mengiktiraf karya terbaik industri rakaman tempatan selama lebih 30 tahun.
Sempena sambutan Jubli Peraknya, AIM25 bakal mencipta sejarah apabila buat pertama kalinya dianjurkan di luar Semenanjung Malaysia dengan Kuchingdipilih sebagai tuan rumah.
Lebih menarik, AIM25 turut memperkenalkan dua kategori baharu iaitu Lagu Borneo Terbaik dan Lagu Perayaan Terbaik, sekali gus memperluaskan pengiktirafan terhadap kepelbagaian karya muzik tempatan serta membuka lebih banyak peluang kepada bakat dari Sabah dan Sarawak untuk menyerlah di pentas kebangsaan.
Penganjuran bersejarah ini turut mendapat sokongan Kementerian Komunikasi menerusi Dana Pengiktirafan berjumlah RM950,000 melalui MyCreative Ventures, selain Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP) menerusi Geran Sokongan Acara.

TVS kini bukan sekadar suara Sarawak, malah platform yang dipercayai industri
Sejak dilancarkan pada tahun 2020, TVS terus berkembang sebagai antara saluran televisyen percuma (FTA) yang paling pesat membangun di Malaysia.
Hari ini, TVS menjadi satu-satunya stesen televisyen tempatan yang menyiarkan berita dalam empat bahasa, iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Iban dan Mandarin.
Perkembangan tersebut turut dibuktikan menerusi pencapaian memberangsangkan apabila TVS merekodkan 93.1 juta tontonan televisyen dan 403 juta tontonan digital serta media sosial di seluruh negara sepanjang suku pertama 2026.
Menurut Ketua Pegawai Media TVS, Mohamad Sardon Zainal, pemilihan TVS sebagai Penyiar Rasmi dan Penganjur Bersama AIM25 merupakan satu pengiktirafan besar terhadap perjalanan stesen itu sejak lima tahun lalu.
“TVS berbesar hati dinamakan sebagai Penyiar Rasmi dan Penganjur Bersama AIM25. Kami bermula sebagai suara Sarawak, membawa cerita rakyat, budaya dan muzik tanah air dalam empat bahasa yang jarang ditemui di bawah satu bumbung siaran.
Apabila AIM memilih untuk meraikan Jubli Peraknya di Kuching buat julung kali, ia bukan sekadar satu penghormatan, tetapi satu pengiktirafan bahawa suara dari Sarawak kini turut menjadi suara Malaysia.” ujarnya.
Beliau berkata, kerjasama itu turut mencerminkan keyakinan industri bahawa TVS kini mampu membawa acara berskala nasional kepada jutaan penonton di seluruh Malaysia.

‘Hits 122 edisi AIM25’ bawa penonton lebih dekat dengan dunia muzik
Selain menyiarkan malam kemuncak AIM25, TVS turut menerbitkan Hits 122 Edisi AIM25, sebuah program khas sebanyak 13 episod yang akan mula bersiaran pada 25 Julai 2026, setiap Sabtu jam 8.30 malam di TVS Saluran 122.
Program ini bakal membawa penonton menyelami perjalanan menuju malam anugerah menerusi pelbagai pengisian menarik seperti sejarah AIM, temu bual eksklusif bersama calon, sorotan video muzik rasmi, kisah di sebalik tabir industri serta perkembangan terkini menjelang malam kemuncak.
Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan mempromosikan karya ahli RIM kepada khalayak yang lebih luas, malah memberi peluang kepada peminat untuk mengenali dengan lebih dekat bakat-bakat yang mewarnai industri muzik tempatan.
CATS FM turut meriahkan AIM25, jangan lepaskan malam bersejarah ini
Dalam usaha membawa kemeriahan AIM25 kepada lebih ramai peminat muzik, CATS FM turut diumumkan sebagai Rakan Radio Rasmi bagi edisi bersejarah ini.
Sebagai stesen radio persendirian pertama di Malaysia Timur, CATS FM akan membantu memeriahkan perjalanan menuju malam anugerah menerusi pelbagai kandungan khas yang akan disiarkan kepada pendengar di Sarawak dan seluruh negara.
Orang ramai boleh mengikuti Hits 122 Edisi AIM25 bermula 25 Julai 2026, setiap Sabtu jam 8.30 malam di TVS Saluran 122, sebelum menyaksikan malam kemuncak AIM25 menerusi MYTV, Astro dan Unifi TV, atau strim secara percuma melalui TVS Inspire.
Dengan penganjuran di Kuching, pengenalan kategori baharu serta kerjasama strategik antara TVS, RIM dan CATS FM, AIM25 dijangka menjadi antara edisi paling bermakna dalam sejarah anugerah muzik paling berprestij di Malaysia.
The post AIM25 Cipta Sejarah, Pertama Kali Berlangsung Di Kuching Selepas 25 Tahun! first appeared on OHBULAN!.





