Menteri besar sementara Aminuddin Harun yakin Pakatan Harapan (PH) mempunyai peluang lebih baik untuk mengekalkan pentadbiran Negeri Sembilan pada pilihan raya negeri (PRN), 1 Ogos ini.
Menurut Aminuddin, situasi politik Negeri Sembilan berbeza dari negeri lain dan persaingan kali ini masih terbuka meskipun PH bergerak solo selepas BN memilih haluan berasingan.
“Kita (Negeri Sembilan) tak sama dengan tempat lain.
"Ini `nogori kito, cara kito’,” katanya seperti dipetik MalaysiaGazette ketika ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson hari ini.

Naib presiden PKR itu meninggalkan kerusi Sikamat yang dimenanginya selama empat penggal untuk bertanding di Linggi pada PRN kali ini.
Langkah itu menyaksikan calon menteri besar atau poster boy PH berkenaan mencuba nasib di kerusi tradisi BN.
Pada PRN 2023, PH memenangi 17 dari 36 kerusi DUN manakala BN memperoleh 14 kerusi dan PN lima kerusi. PH dan BN kemudian bekerjasama membentuk kerajaan negeri sebelum bergerak secara berasingan pada PRN kali ini.
Sementara itu, Aminuddin mengakui dia berdepan tugas sukar untuk merampas DUN Linggi daripada BN.
“Ini adalah kubu Barisan Nasional, jadi saya pasti banyak cabarannya. Saya tak kata itu mudah, tetapi ini satu cabaran.
"Saya sendiri menawarkan diri kepada kepimpinan untuk turun ke DUN Linggi.
“Mereka banyak kali bertanya, “MB okey ke tak?” Saya kata, “Saya cuba,” jelasnya lagi.





