Presiden MCA Wee Ka Siong menjelaskan perincian kerjasama partinya dengan Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri Sembilan susulan bantahan pelbagai pihak terhadap keputusan itu.
Bercakap dalam sidang media hari ini, Wee menegaskan pakatan pilihan raya antara BN dan PN bertujuan memastikan pembangunan berterusan di bawah kerajaan Negeri Sembilan yang kuat dan stabil.
Ahli Parlimen Ayer Hitam itu memberi jaminan langkah yang diambil bagi mencapai matlamat tersebut tidak akan menjejaskan prinsip MCA atau komitmen parti itu untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Kerjasama tak bermaksud penggabungan, sebaliknya setiap parti tetap kekalkan ideologi, pendirian, dan perananan semak imbang masing-masing.

“MCA dalam kerjasama ini adalah untuk pastikan masyarakat Cina, masyarakat majmuk, pendidikan vernakular dan kebebasan beragama ada wakil dan suara dalam kerajaan,” kata Wee.
Dia berkata kerjasama itu bukan “sokongan tanpa syarat” tetapi berteraskan kepimpinan yang mengutamakan rakyat, sambil menegaskan MCA akan menentang sebarang dasar yang menjejaskan hak serta kepentingan masyarakat majmuk Malaysia.
MCA arah Saw jangan turun kempen PRN NS
“Apa yang rakyat perlukan bukan perbalahan politik tanpa kesudahan, sebaliknya kjaan yang mampu selesaikan isu jalan raya, bekalan air, urusan perniagaan dan masalah kos sara hidup yang semakin tinggi
"Pilihan raya negeri Negeri Sembilan beri ruang pada rakyat untuk pilih wakil yang paling berkemampuan, peka isu rakyat, mampu kotakan janji,” kata Wee.

Jaminan Wee itu dibuat susulan pertikaian dalaman yang dilihat tercetus berhubung langkah BN menjalin kerjasama dengan PN, apabila Setiausaha Agung Pemuda MCA Saw Yee Fung menyuarakan kebimbangan mengenai kerjasama parti itu dengan PAS, yang merupakan komponen PN.
Dia turut berhujah MCA tidak akan berbeza daripada sekutunya dalam kerajaan persekutuan, DAP — yang dituduh MCA mengkhianati prinsipnya demi kuasa — sekiranya rancangan itu diteruskan.
Walaupun Saw sejak itu didakwa diarahkan supaya tidak terbabit dalam kempen Pilihan Raya Negeri Sembilan, Wee hari ini menyindir Pakatan Harapan (PH) dan DAP ketika mempertahankan langkah MCA menjalin hubungan dengan PN.
BACA BERKAITAN:
Setiausaha Agung Pemuda MCA diarah tak sertai kempen di N Sembilan
Gadai prinsip demi kuasa, Pemuda MCA selar pakatan BN-PAS

“Jika kjaan perpaduan pada waktu ini hanya sekadar perkongsian kuasa antara parti politik namun gagal laksanakan reformasi dan selesaikan masalah rakyat, maka ia hanya perpaduan yang hipokrit,” kata bekas menteri pengangkutan itu.
“Pilihan politik dan perebutan kuasa PH pada masa lalu telah buka ruang yang lebih besar pada politik ekstrem.
"Negeri Sembilan tidak boleh ulangi kesilapan yang sama - tindakan DAP yang sekian lama meraih sokongan melalui politik melabel dan retorik berunsur konfrontasi telah menjadi pendorong utama pada sentimen masyarakat dan perpecahan politik yang semakin meruncing,” dakwanya.
Dia seterusnya berhujah BN merupakan satu-satunya parti yang mampu menyatukan kuasa sederhana sambil mempertahankan masyarakat majmuk dan membentuk kerajaan yang stabil.
Apa itu cinta?
Dalam satu lagi petanda hubungan antara rakan dalam kerajaan persekutuan semakin renggang, Ahli Parlimen Bangi daripada DAP Syahredzan Johan memuat naik gambar Timbalan Presiden MCA Mah Hang Soon bersama Ketua Penerangan PN Annuar Musa di Instagram bagi “menyindir” MCA.
Gambar itu memaparkan Mah dan Annuar bergambar bersama sambil cuba membentuk simbol hati menggunakan tangan, mendorong Syahredzan menulis beberapa baris puitis mengenai “cinta” antara MCA dan PAS.

“Sayang mulanya disorok dan malu-malu, kini mekar tanpa segan silu, datang berahi dibuai kuasa, apa lagi jika bukan cinta dan hanya cinta?
"PAS cinta MCA?” kata Syahredzan dalam kapsyen hantarannya.
Gambar itu dipercayai dirakam ketika proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri Sembilan awal hari ini.
Kerjasama BN dan PN turut berlaku ketika hubungan PAS dan Bersatu semakin merosot, dengan Bersatu menuduh Pengerusi PN Ahmad Samsuri Mokhtar membuat keputusan secara sepihak untuk menjalin pakatan pilihan raya dengan BN serta mengetepikan Bersatu daripada rundingan kerusi.
Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sejak itu memberi bayangan partinya mungkin keluar daripada PN, sambil meluahkan kekecewaan terhadap kepimpinan gabungan itu yang didakwanya menafikan hak Bersatu sebagai anggota gabungan.





