Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata bahawa legasi Perdana Menteri Anwar Ibrahim dicemari kerana ingkar janji reformasinya.
Jelas Arutchelvan, kegagalan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul mengosongkan kerusi wakil rakyat yang dipecat daripada Bersatu menyebabkan undang-undang antilompat parti hilang taring.
“Sayangnya, legasi Anwar akan dicemari dan diingati kerana mengingkari janji reformasi.
"Dia bukan sahaja lambat melakukan pembaharuan, malah dengan langkah ini dia telah menghakis reformasi sedia ada oleh kerajaan terdahulu," katanya.
Johari menolak permohonan Bersatu untuk mengosongkan lima kerusi berkenaan, dengan alasan bahawa Perlembagaan Bersatu adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang memberi jaminan bahawa ahli parlimen mempunyai kebebasan untuk bercakap, berdebat dan mengundi.
Mengenai keputusan tidak mengosongkan kerusi Parlimen Labuan, menurut surat berasingan Johari memaklumkan dia tidak mahu merosakkan kepentingan pihak sedang berbicara dalam kes mahkamah susulan Ahli Parlimen berkenaan, Suhaili Abdul Rahman membawa tindakan terhadap Bersatu melalui pemfailan guaman di Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Ini menetapkan duluan bahawa ahli parlimen boleh menangguhkan keputusan sama ada kerusi mereka dikosongkan dengan memfailkan saman terhadap parti mereka.
Dalam kenyataan Arutchelvan, dia berkata bahawa Pakatan Harapan (PH) gagal memilih pilihan beretika moral.
“Mereka (PH) mahu orang ramai bertolak ansur dan faham apabila (Timbalan Perdana Menteri) Ahmad Zahid Hamidi dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA), mereka mahu orang ramai faham mengapa perdana menteri perlu menjadi menteri kewangan dan seterusnya,” katanya.
Dia menambah, PH tidak mempunyai jaminan bahawa enam ahli parlimen itu tidak akan mengkhianati kerajaan.
Katanya, mereka tidak mematuhi disiplin parti apabila mengumumkan sokongan kepada Anwar untuk mendapatkan peruntukan bagi kawasan mereka.
Selanjutnya, dia mengecam ahli parlimen yang tidak serahkan semula kepada rakyat untuk membuat pilihan.
“Jika tindakan mereka berenam itu memang untuk mendapatkan peruntukan untuk pengundi mereka, kenapa tidak biarkan pilihan raya diadakan untuk membuktikan pengundi anda menyokong tindakan anda.
"Sebaliknya, keenam-enam ahli parlimen itu dengan pengecut berlindung di belakang payung Madani daripada orang yang mengundi mereka," tambahnya.
Keputusan Johari juga telah dikritik oleh Bersih, yang menganggapnya sebagai satu kesilapan.
Badan pemantau pilihan raya itu menegaskan bahawa speaker tersilap memahami mekanisme undang-undang antilompat parti dan mengabaikan prinsip dan niat di sebalik enakmen itu, yang boleh membawa kepada ketidakstabilan politik pada masa depan.
Selain Suhaili, lima lagi bekas Ahli Parlimen Bersatu ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).





