Wanita dikenali 'Jorjet Myla' yang ditahan polis hujung minggu lalu selepas mengkritik kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam satu video di TikTok, dikatakan masih dalam keadaan trauma dan belum bersedia untuk ditemu bual.
Perkara itu dimaklumkan suaminya, Ifaiznor Ismail, 35, ketika ditemui Malaysiakini di Kuantan, Pahang, malam tadi.
Dia juga memberitahu isterinya hilang selera makan susulan ditempatkan dalam lokap sepanjang tiga hari direman.
"Tak banyak yang dia kongsi dengan saya mengenai apa yang berlaku sepanjang ditahan reman.
"Cuma dia ada cakap tak lalu makan (hilang selera), kita pun fahamlah makanan dalam lokap itu macam mana," katanya.
Wanita berusia 38 tahun itu ditahan pagi Isnin lalu dan dilaporkan disiasat di bawah Akta Hasutan 1948 susulan kenyataannya terhadap Anwar.
Dalam video berkenaan, Myla dilaporkan melontarkan kritikan terhadap Anwar dengan menuduh perdana menteri sering menyalahkan pihak lain atas kelemahan serta prestasi yang disifatkan tidak memberangsangkan.
Dia juga mendakwa Anwar masih berperananan seperti ketua pembangkang dan mencadangkan bahawa presiden PKR itu mungkin lebih selesa berada di luar kerajaan.
Sementara itu, Ifaiznor menambah, isterinya akan menjawab semua soalan berkaitan isu penahanannya tidak lama lagi menerusi sesi siaran langsung di media sosial.
Katanya, buat masa ini isterinya itu belum bersedia untuk bertemu sesiapa dan berjanji akan menjawab semua pertanyaan apabila tiba masa yang sesuai.
"Saya fikir itulah yang terbaik ketika ini, biar dia berehat dahulu sehingga semua kembali tenang," jelasnya.
Ifaiznor juga memberitahu dia tidak pasti isterinya perundangan yang akan digunakan untuk mendakwa isterinya, namun mengesahkan telefon bimbit milik isterinya antara yang dirampas pihak polis.
Sebelum ini pada Januari, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata Akta Hasutan hanya digunakan bagi kes melibatkan penghinaan terhadap institusi diraja dan perkara yang mengancam kedaulatan negara.
Namun, kumpulan hak asasi manusia Suaram dalam satu laporan menyatakan bahawa separuh daripada siasatan hasutan pada 2025 melibatkan kritikan terhadap pemimpin politik.





