Petisyen yang menggesa Rohingya dihalau keluar dari Malaysia telah diturunkan untuk semakan oleh Change.org susulan kritikan kumpulan masyarakat sivil terhadap kempen kebencian terbaru yang menyasarkan komuniti tertindas itu.
Sebelum diturunkan, petisyen yang dipercayai dimulakan oleh rakyat Malaysia itu menerima lebih 424,000 tandatangan setakat 8 Jun, menurut laporan The South China Morning Post.
Pemimpin NGO berkata kempen kebencian terhadap Rohingya, pelarian lain dan migran bukan perkara baru di Malaysia. Pada 2021, laporan media memetik penduduk yang berasa tidak selesa dengan kehadiran Rohingya dan warga asing lain yang tinggal di flat mereka atau bekerja di pasar tempatan.
Gelombang terbaru yang membawa kepada petisyen itu dilihat sebahagian daripada kempen dakyah maklumat palsu terhadap pelarian Rohingya yang mula tersebar di media sosial.

Salah satu sumbernya ialah poster yang mendakwa seorang pemimpin Rohingya, yang digelar “Presiden Rohingya Malaysia”, meminta Selayang dijadikan penempatan untuk komuniti itu, yang diusir secara paksa dari negeri asal mereka di Rakhine, Myanmar.
Poster yang direka seolah-olah buletin berita rasmi itu dikongsi oleh anak perempuan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, Nurulhidayah.
Berdasarkan tangkap layar poster yang dikongsi Nurulhidayah, imej itu berasal daripada akaun TikTok @the_pandir_post.
Akaun TikTok itu menggambarkan dirinya sebagai penyebar “berita satira seluruh dunia” dan kebanyakannya memuat naik kandungan janaan AI. Poster itu sendiri ditandakan dengan label yang menunjukkan ia mengandungi elemen janaan AI, selaras dengan dasar TikTok.

Semakan Malaysiakini tidak menemui sebarang sumber media yang memetik pemimpin Rohingya seperti didakwa membuat tuntutan sedemikian manakala kumpulan “Rohingya Malaysia” juga tidak kelihatan wujud.
Namun begitu, setakat jam 5 petang pada 10 Jun, imej berkenaan meraih 808 tanda “hati”, 119 simpanan, 539 perkongsian dan 431 komen.
Sebahagian besar pengulas menggesa komuniti itu “dihalau” dari Malaysia, dengan penerbit kandungan itu menyukai banyak komen sedemikian.
Kempen kebencian itu turut menggunakan tangkap layar satu hantaran yang direka seolah-olah diambil daripada kumpulan Facebook bernama “Rohingya Solidarity Network Malaysia”.

Hantaran itu menggesa Malaysia menyediakan tanah untuk pelarian dan mengecam dasar bumiputera sebagai “perkauman”.
Walaupun kelihatan sahih, pentadbir kumpulan Facebook itu berkata tangkap layar dan hantaran berkenaan “direka” serta tidak mewakili pendirian kumpulan tersebut.
“Kami tidak pernah membuat dakwaan sedemikian. Kami berada di sini sebagai pelarian yang mencari keselamatan dan meneruskan hidup, bukan meminta tanah, kewarganegaraan atau kawalan politik,” tulis kumpulan itu.
Mirip kempen cetuskan genosid di Myanmar
Pengarah Eksekutif Rohingya Women Collaborative Network, Yasmin Ullah berkata tuduhan itu menyerupai propaganda anti-Rohingya yang pernah tersebar di Myanmar.
“Ucapan kebencian yang menyasarkan Rohingya di Malaysia hari ini mengulangi naratif sama yang disebarkan nasionalis Buddha di Myanmar sebelum kempen genosid 2017, yang menggambarkan Rohingya sebagai penceroboh, ancaman dan golongan yang tidak sepatutnya berada di sana,” kata Yasmin dalam laporan Sinar Daily.
Pengasas Pusat Komas, Jerald Joseph pula memberitahu Malaysiakini kempen terbaru terhadap Rohingya itu kelihatan seperti usaha terancang.
Bagaimanapun, bekas pesuruhjaya Suhakam itu mengakui syak wasangka tersebut sukar disahkan dan memerlukan kepakaran tertentu, seperti yang dimiliki Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), yang mempunyai kuasa menghentikan kelakuan sedemikian.

Joseph (gambar atas) berkata serangan terbaru itu mungkin berpunca daripada gabungan faktor global, tempatan, ekonomi dan politik.
“Setiap kali berlaku kesusahan dan masalah, seperti kenaikan harga barang, kemarahan akan dihalakan kepada golongan yang tidak bersuara. Mereka sasaran mudah bagi orang yang bersikap xenofobia,” katanya.
Ketika ditanya mengapa rakyat Malaysia memandang pelarian Rohingya secara begitu negatif, Joseph berkata sentimen itu meningkat dengan pantas ketika pandemik Covid-19.
Dia menambah keadaan hanya boleh bertambah baik melalui dasar, kepimpinan politik dan gerakan sosial supaya Malaysia tidak akhirnya merosot menjadi negara seperti beberapa negara Barat yang mengamalkan dasar anti-imigran.

Pemimpin pelarian Rohingya, Zafar Ahmad Abdul Ghani menggesa kebencian terhadap komunitinya dihentikan, yang disifatkannya sebagai kempen maklumat palsu.
Presiden Myanmar Ethnic Rohingya Human Rights Organisation itu turut meminta kerajaan Malaysia, bersama Asean, mempertahankan hak pelarian dan melindungi mereka yang melarikan diri dari tanah air akibat konflik.
“Hari demi hari, Rohingya terus berdepan ucapan kebencian, berita palsu, sikap memusuhi orang asing dan Islamofobia.
“Inilah sebab utama mengapa kita menjadi musuh dan saling bertelagah,” keluhnya.
Dia mendakwa dirinya sendiri menjadi mangsa kebocoran maklumat peribadi apabila pengguna media sosial menghasut kebencian terhadapnya dan cuba menjejaki rumahnya.
“Mereka (rakyat Malaysia yang menyasarkan dirinya) bertanya kepada ramai Rohingya di mana rumah saya,” dakwanya.
[Baca laporan asal]





