PAS menganggap secara rasmi Bersatu bukan lagi sebahagian daripada keluarga PN.
Kedudukan itu, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang, dianggap berlaku selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, menyatakan hasrat mereka untuk menubuhkan pakatan politik baru.
Malah Abdul Hadi menganggap Bersatu “terjerat sendiri” dalam percaturan mereka.
"Mereka (Bersatu) sudah membuat kenyataan untuk tubuhkan pakatan lain dan secara automatiknya dia keluar (dari PN).
"Tak perlu kenyataan atau keputusan rasmi dah sebab dia dah terjerat sendiri apabila dia buat kenyataan begitu.
"Ikut perlembagaan (PN) kalau dia pergi ke (pakatan) lain, habislah,” katanya.
Di sebalik kedudukannya tiada sebarang jawatan dalam PN, Abdul Hadi menegaskan bahawa PN juga tidak perlu mengeluarkan sebarang surat rasmi untuk mengesahkan penyingkiran Bersatu.
Abdul Hadi berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Masjid Rusila, Marang, hari ini.
Untuk rekod PN kini diketuai Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Ahmad Samsuri Mokhtar.
Selain itu Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, pula menjadi salah seorang timbalan pengerusi PN.
Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang sebelum itu diminta mengulas berhubung kedudukan Bersatu dalam PN susulan perkembangan politik selepas PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.
Sebelum ini, Muhyiddin dilaporkan berkata Bersatu akan membentuk gabungan baru yang dianggap lebih hebat bersama beberapa pertubuhan lain selepas PRN Negeri Sembilan.
Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, gabungan baru tersebut antara lain akan turut membabitkan parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) antaranya Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).
Sementara itu, mengulas pelantikan wakil rakyat PN dalam barisan kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan hari ini, Abdul Hadi berkata, PAS berpuas hati dengan agihan portfolio exco tersebut.
"Ya, kita berpuas hati. Kita diberikan dua wakil rakyat," katanya ringkas.





