Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak akan berkompromi jika mana-mana pihak didapati terlibat pecah amanah atau salah tadbir Lembaga Tabung Haji (TH), kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata jika benar terdapat individu atau kumpulan terlibat menyeleweng atau melakukan salah tadbir dalam organisasi kerajaan dan badan berkanun, mereka perlu menerima akibatnya.
“Maka akibatnya akan dihadapi mereka dan saya tidak fikir kita harus berkompromi jika unsur-unsur yang negatif itu dilakukan oleh mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di Putrajaya hari ini.
Sesi persidangan khas untuk membahaskan dapatan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH akan diadakan pada 11 Ogos.
Laporan RCI yang diterbitkan pada 29 Julai mencadangkan supaya audit forensik dijalankan untuk meneliti bagaimana keputusan pelaburan lepas dibuat sehingga menyebabkan TH berhadapan dengan penurunan nilai aset yang teruk.
RCI itu menyiasat isu pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020, juga mendapati wujud transaksi yang mencurigakan dan penyembunyian maklumat.





