Setiap kali statistik kemasukan murid ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) diumumkan, kebimbangan yang sama diulang. Pemimpin politik menyeru masyarakat India (keturunan Tamil, Malayali, dan Telugu) mempertahankan SJKT. Pertubuhan masyarakat pula tampil menggesa ibu bapa keturunan Tamil menghantar anak-anak ke sekolah Tamil.
Pelbagai kempen turut digerakkan secara besar-besaran atas nama bahasa, budaya, dan identiti Tamil. Misalnya, kempen “SJKT Pilihan Kita” (Tamil School Our Choice) sejak lebih sedekad lalu. Namun, angka tidak pernah berbohong. Jumlah kemasukan murid ke SJKT terus menunjukkan trend yang membimbangkan.
Menurut data rasmi Kementerian Pendidikan (KPM) yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada 22 Jun 2026, sehingga 31 Mei 2026, terdapat 528 buah SJKT yang masih beroperasi di seluruh negara dengan jumlah 78,501 orang murid.
Pada masa sama, sejumlah 135 buah SJKT dilaporkan melaksanakan kelas bercantum kerana bilangan murid yang terlalu kecil, manakala 36 buah SJKT telah diluluskan untuk dipindahkan ke lokasi yang mempunyai potensi kemasukan murid lebih tinggi.
Hakikat ini menunjukkan bahawa masalah kekurangan murid di SJKT bukan lagi kes terpencil yang boleh disapu dan disembunyikan di bawah karpet, sebaliknya fenomena yang semakin meluas dan wajar dibahaskan secara terbuka, objektif, dan konstruktif.
Sebenarnya, tanda-tanda awal kepada masalah ini sudah lama kelihatan dan telah saya ketengahkan menerusi tulisan bertajuk “Persoalan Kempen SJKT Pilihan Kita” di sebuah portal pada Januari 2016.
Pada tahun 2017 pula, dilaporkan bahawa 22 buah SJKT mempunyai kurang daripada sepuluh orang murid, manakala menjelang tahun 2022, sebanyak 367 buah SJKT dikategorikan secara rasmi sebagai sekolah kurang murid (SKM). Statistik dan data sahih seperti ini membuktikan bahawa masalah berkenaan telah berlarutan hampir sedekad tanpa perhatian dan penyelesaian yang benar-benar berkesan.
Persoalan sebenar bukan semata-mata mengapa semakin banyak SJKT kehilangan murid. Persoalan yang lebih penting ialah mengapa semakin ramai ibu bapa kaum India sendiri—khususnya keturunan Tamil—memilih untuk tidak lagi menghantar anak-anak ke SJKT.
Kesimpulan terlalu simplistik
Ramai pihak terlalu mudah menyimpulkan bahawa masyarakat India sudah tidak menghargai bahasa Tamil. Kesimpulan seperti itu bukan sahaja terlalu simplistik, malah mengabaikan realiti kehidupan masyarakat India di Malaysia yang sudah banyak berubah sejak tahun 1970-an.
Hari ini, majoriti keluarga kaum India tinggal di kawasan bandar dan pinggir bandar. Ramai ibu bapa merupakan golongan profesional, penjawat awam, usahawan, pekerja sektor swasta, dan pekerja mahir. Mereka hidup dalam dunia yang semakin kompetitif dan mencabar. Mereka sedar bahawa masa depan anak-anak bergantung kepada penguasaan pelbagai ilmu, kemahiran, dan bahasa; bukannya semata-mata pada sentimental sejarah, budaya, warisan, dan bahasa Tamil.
Apabila memilih sekolah, ibu bapa tidak lagi bertanya sekolah mana paling dekat dengan identiti budaya nenek-moyang. Sebaliknya, mereka bertanya sekolah mana yang mampu menyediakan peluang terbaik untuk anak-anak mereka melanjutkan pelajaran, memperoleh pekerjaan yang baik, dan bersaing dalam masyarakat global. Dalam situasi ini, SJKT terbukti berhadapan cabaran yang amat besar.
Salah satu kebimbangan yang masih dibangkitkan guru dan ibu bapa ialah penguasaan Bahasa Malaysia. Walaupun kurikulum kebangsaan digunakan di semua sekolah kerajaan, sebahagian ibu bapa masih mempunyai persepsi bahawa murid SJKT memerlukan tempoh penyesuaian apabila memasuki sekolah menengah kebangsaan (SMK) yang menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa utama pengajaran.
Sama ada persepsi itu tepat atau tidak bagi semua sekolah bukanlah isu utama. Dalam membuat keputusan, persepsi sering mempengaruhi tindakan lebih kuat daripada statistik. Malah, kita boleh cuba bertanya sendiri kepada kelompok pelajar SMK yang datang dari SJKT dan terpaksa pula mengikuti Kelas Peralihan selama setahun.
Pada masa sama, perlu diakui bahawa ibu bapa kaum India semakin memberi perhatian kepada penguasaan bahasa Inggeris. Dalam era ekonomi digital dan pasaran pekerjaan global, bahasa Inggeris dianggap sebagai satu kelebihan yang sangat penting.
Ramai ibu bapa kaum India memilih sekolah rendah yang mereka percaya mampu melahirkan murid yang benar-benar fasih Bahasa Malaysia, Tamil, dan Inggeris. Sekiranya SJKT gagal membina reputasi sebagai sekolah yang mampu melahirkan murid trilingual dan berkualiti, ibu bapa keturunan Tamil sendiri mungkin akan mencari alternatif lain.
Mutu pendidikan
Faktor kedua ialah mutu pendidikan. Kerap kali apabila isu SJKT dibincangkan, perhatian diberikan kepada pembinaan bangunan baharu, status tanah sekolah, atau peruntukan kewangan. Semua perkara itu penting tetapi ibu bapa sebenarnya lebih mengambil berat tentang apa yang berlaku di bilik darjah.
Tokoh pendidikan seperti John Hattie melalui buku Visible Learning (2008) dan Visible Learning: The Sequel (2023) membuktikan bahawa faktor yang paling besar mempengaruhi pencapaian murid ialah keberkesanan guru menyampaikan ilmu, bukannya jenis sekolah atau saiz sekolah.
Kajian yang menghimpunkan puluhan ribu penyelidikan berasaskan pendidikan itu menunjukkan bahawa guru yang berkualiti, maklum balas yang berkesan, serta budaya pembelajaran yang positif mampu memberi kesan yang jauh lebih besar terhadap pencapaian murid.
Begitu juga pandangan Pengarah Pendidikan di Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), Andreas Schleicher dalam buku World Class: How to Build a 21st-Century School System (2018). Beliau menegaskan bahawa sistem pendidikan yang berjaya sebenarnya sentiasa memberi tumpuan kepada pembangunan profesional guru, kepimpinan sekolah, dan keupayaan murid berfikir secara kritis.
Sekolah tidak boleh bergantung pada sejarah atau tradisi semata-mata untuk kekal relevan. Hujah ini tentulah amat sesuai dengan sentimen pemimpin politik dan masyarakat Tamil yang sentiasa mengaitkan SJKT dengan bahasa, warisan, dan budaya Tamil.
Dalam laporan rasmi Programme for International Student Assessment (PISA) 2022, OECD sekali lagi menekankan bahawa faktor seperti iklim sekolah yang kondusif, guru yang kompeten, penglibatan ibu bapa, serta budaya membaca memberi impak besar terhadap pencapaian murid. Dengan kata lain, ibu bapa hari ini tidak memilih sekolah berdasarkan nama tetapi berdasarkan keyakinan terhadap kualiti pendidikan.
Selain itu, semakin banyak SJKT berstatus sekolah kurang murid (SKM). Memang benar, secara teori, bilangan murid yang sedikit membolehkan guru memberi perhatian secara individu. Namun, keadaan ini juga boleh menyebabkan beberapa kekangan.
Misalnya, aktiviti kokurikulum menjadi lebih terhad. Persaingan akademik kurang mencabar. Bilangan rakan sebaya yang sedikit mengehadkan peluang interaksi sosial, pengalaman kepimpinan, dan pembelajaran kolaboratif. Semua faktor ini tentulah turut dipertimbangkan oleh ibu bapa apabila memilih sekolah yang sesuai bagi anak-anak.
Keadaan serba kekurangan
Dalam era digital pula, kemudahan yang terdapat di sekolah menjadi semakin penting. Makmal komputer, capaian internet, perpustakaan moden, bilik STEM, makmal sains, dan ruang pembelajaran fleksibel bukan lagi kemewahan, tetapi keperluan asas di sekolah.
Walaupun memang ada SJKT yang mempunyai segala kemudahan cemerlang, masih banyak sekolah beroperasi dalam keadaan serba kekurangan. Jurang inilah yang perlu ditangani secara serius bagi menjayakan kempen “SJKT Pilihan Kita”; bukan bergantung kepada sentimen bahasa dan budaya Tamil semata-mata.
Kita perlu menerima hakikat bahawa realiti hidup kaum India sendiri juga sedang berubah. Tidak semua keluarga keturunan Tamil menggunakan bahasa Tamil sebagai bahasa utama di rumah. Sebahagian keluarga lebih banyak menggunakan bahasa Inggeris.
Bagi mereka, pembelajaran bahasa Tamil masih penting sebagai warisan budaya, tetapi mereka beranggapan bahasa ibunda itu masih boleh dipelajari melalui kelas hujung minggu, persatuan kebudayaan, atau program komuniti. Oleh itu, ibu bapa lebih cenderung memilih sekolah yang dianggap lebih sesuai dengan keperluan pendidikan secara lebih menyeluruh demi masa depan anak- anak.
Justeru, penyelesaian kepada masalah kemerosotan murid di SJKT tidak boleh bergantung kepada kempen berunsur sentimen dan emosi semata-mata. Tambahan pula, kempen “SJKT Pilihan Kita” yang digerakkan sejak lebih sedekad lalu ternyata masih gagal mencapai sasaran yang diimpikan.
Langkah pertama bagi mengatasi masalah sebenar ialah meningkatkan mutu pengajaran secara menyeluruh. Latihan profesional guru perlu diperkasakan secara berterusan, khususnya dalam pedagogi abad ke-21, penggunaan teknologi pendidikan, pembelajaran berasaskan inkuiri, dan pembangunan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT).
Perkara ini tentulah sudah ada tetapi mungkin kurang dipromosikan dalam kempen “SJKT Pilihan Kita” yang lebih banyak cuba bermain dengan emosi dan sentimen bahasa, warisan, serta budaya Tamil semata-mata.
Murid ‘trilingual’
Langkah kedua ialah memastikan setiap murid SJKT benar-benar menguasai Bahasa Malaysia, Tamil, dan Inggeris pada tahap yang memuaskan. Jika SJKT berjaya dikenali sebagai sekolah yang melahirkan murid trilingual dan cemerlang, tentu sahaja persepsi masyarakat terhadap SJKT akan berubah dengan sendiri; tanpa memerlukan laungan “SJKT Pilihan Kita”.
Langkah ketiga ialah memperkukuh hubungan dengan komuniti profesional kaum India. Doktor, jurutera, saintis, peguam, pensyarah, usahawan, dan alumni SJKT yang berjaya perlu lebih kerap diundang terlibat sebagai mentor kepada murid.
Pastikan mereka bukan datang untuk melaungkan kehebatan bahasa dan budaya Tamil, sebaliknya berkongsi kisah kejayaan mereka dalam kerjaya dan komuniti. Barulah kehadiran mereka dalam ekosistem sekolah Tamil mampu meningkatkan aspirasi murid serta keyakinan ibu bapa terhadap kedudukan SJKT sebagai institusi pendidikan yang menjanjikan masa depan.
Langkah keempat pula melaksanakan penyusunan semula SJKT secara berani dan berasaskan data. Sekolah yang terlalu kecil mungkin perlu digabungkan atau dipindahkan ke kawasan yang mempunyai populasi kaum India lebih tinggi. Langkah seperti ini mungkin sukar diterima pada peringkat awal, tetapi lebih baik daripada membiarkan sekolah terus kehilangan murid sehingga tidak lagi mampu berfungsi secara optimum; dan akhirnya terpaksa ditutup.
Akhir sekali, KPM boleh sahaja mengambil inisiatif menerbitkan indikator prestasi setiap SJKT secara lebih telus. Data mengenai pencapaian literasi dan numerasi, penguasaan Bahasa Malaysia serta Inggeris, kehadiran murid, penyertaan kokurikulum, kadar peralihan ke sekolah menengah, dan laporan penglibatan ibu bapa boleh membantu masyarakat membuat penilaian berdasarkan bukti, bukannya persepsi, sentimen, dan emosi.
Pada pandangan saya, isu SJKT bukan sekadar soal bahasa atau identiti komuniti Tamil. Isu sebenar yang sering diabaikan atau menjadi elephant in the room ialah soal kepercayaan dan keyakinan. Ibu bapa menghantar anak-anak ke sekolah yang mereka yakini mampu menyediakan masa depan yang lebih baik.
Selagi perbahasan dan kempen masih lebih tertumpu kepada soal mempertahankan kewujudan SJKT sebagai identiti, bahasa, budaya, dan warisan Tamil semata-mata tanpa memikirkan soal mempertingkatkan kualiti pendidikan, trend kemerosotan kemasukan murid ke SJKT sukar dibendung.
Jika SJKT benar-benar mahu kembali menjadi pilihan utama masyarakat India, sekolah ini perlu menawarkan sesuatu yang sukar ditolak: Pendidikan bertaraf tinggi, guru cemerlang, kemudahan moden, penguasaan tiga bahasa yang mantap, serta budaya pembelajaran yang mampu melahirkan murid berfikiran kritis, kreatif, dan berdaya saing. Aspek budaya dan warisan Tamil boleh diselitkan secara organik.
Apabila mutu pendidikan menjadi keutamaan, ibu bapa tidak lagi perlu dipujuk rayu menerusi kempen “SJKT Pilihan Kita” atau sentimen bahasa, budaya, dan warisan Tamil. Sebaliknya, mereka sendiri akan datang mengetuk pintu pagar sekolah untuk mendaftar anak-anak di SJKT.
UTHAYA SANKAR SB ialah seorang penulis dan pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





