Tentera AS pada Isnin berkata ia memusnahkan enam bot kecil Iran dan memintas peluru berpandu serta dron Iran ketika Tehran cuba menyekat usaha baharu tentera laut AS untuk membuka semula laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Presiden AS Donald Trump, semalam melancarkan operasi yang dipanggil sebagai Project Freedom, ketika dia cuba merampas semula kawalan laluan air kritikal itu daripada Iran, yang secara berkesan menutup Selat Hormuz susulan tindakan AS dan Israel memulakan konflik pada 28 Feb lalu.

Reuters melaporkan Laksamana Tentera Laut AS, Brad Cooper yang mengetuai Central Command enggan mengulas sama ada gencatan senjata yang bermula pada 8 April lalu, masih berkuat kuasa ketika Iran meningkatkan serangan di rantau itu termasuk serangan dron dan peluru berpandu ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) semalam.
Namun Cooper mengakui usaha berterusan Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) untuk "mengganggu" operasi Trump.
"IRGC melancarkan pelbagai peluru berpandu, dron dan bot kecil ke arah kapal yang kami lindungi. Kami berjaya menewaskan setiap satu daripada ancaman tersebut melalui penggunaan peluru pertahanan yang tepat," katanya.
Cooper berkata dia 'menasihatkan dengan tegas' pasukan Iran supaya menjauhi aset ketenteraan AS ketika Washington melaksanakan operasi itu, yang membabitkan 15,000 anggota tentera AS, kapal pemusnah Tentera Laut AS, lebih 100 pesawat darat dan laut serta aset bawah permukaan.
"Komander AS yang berada di lokasi mempunyai semua kuasa yang diperlukan untuk mempertahankan unit mereka dan mempertahankan perkapalan komersial," katanya.
Sebuah kapal Korea Selatan dilaporkan terkena letupan di Selat Hormuz pada Isnin, tetapi Trump dalam hantaran media sosial berkata bahawa kapal Korea Selatan itu bukan sebahagian daripada operasi dan mencadangkan ia patut menyertai usaha AS untuk melindungi pergerakan kapal berhampiran Iran. Menurut Trump, AS telah menenggelamkan tujuh bot laju Iran.
Operasi AS untuk membuka semula Selat Hormuz membabitkan beberapa usaha termasuk membersihkan laluan daripada periuk api Iran. AS kemudian membuktikan keselamatan laluan itu dengan menghantar dua kapal komersial berbendera AS melalui selat berkenaan pada awal semalam.

Pengawal Revolusi Iran berkata tiada kapal komersial melintasi selat itu dalam tempoh beberapa jam yang lalu, dan dakwaan AS yang menyatakan sebaliknya adalah tidak benar. Media kerajaan Iran juga menafikan laporan bahawa AS telah menenggelamkan kapal Iran.
‘Hormuz mula lihat pergerakan’
Cooper berkata, operasi AS bukan sekadar misi pengiring konvensional, sebaliknya membabitkan susunan pertahanan berlapis yang merangkumi kapal, helikopter, pesawat serta peperanangan elektronik bagi menghadapi ancaman Iran.
Dia berkata bot laju Iran ditenggelamkan oleh helikopter Apache dan Seahawk AS.
"Jika sekadar mengiringi kapal, ia seperti berdepan satu lawan satu. Namun dalam operasi ini, kami mempunyai susunan pertahanan yang jauh lebih kukuh dan menyeluruh," katanya.
Operasi itu adalah usaha terbaru Trump untuk memaksa gangguan bekalan tenaga antarabangsa dihentikan berpunca daripada sekatan Iran terhadap selat itu, yang membawa satu perlima daripada minyak global dan gas asli cecair sebelum peranang.
Cooper berkata tentera AS menggalakkan kapal-kapal untuk melalui laluan itu walaupun terdapat ancaman Iran untuk menggunakan kekuatan tentera yang secara berkesan menyebabkan kapal dari 87 negara terkandas di Teluk.
"Sepanjang 12 jam yang lalu, kami menghubungi berpuluh-puluh kapal dan syarikat perkapalan untuk menggalakkan aliran trafik melalui selat itu," kata Cooper.
"Berita ini diterima dengan agak positif, dan kami sudah mula melihat pergerakan."

Ancaman Iran menyebabkan banyak kapal terkandas di Teluk. Kira-kira 805 kapal komersial, termasuk kapal tangki bahan api dan kimia, kapal kontena, pengangkut kereta dan kapal pukal, menghantar isyarat sistem pengenalan automatik (AIS) dari dalam Teluk dalam tempoh 24 jam yang lalu, menurut data MarineTraffic.
Cooper turut berkata, sekatan AS ke atas Iran, yang menghalang kapal daripada menuju ke atau keluar dari wilayah Iran, masih berkuat kuasa dan menunjukkan prestasi melebihi jangkaan.
UAE pintas 15 peluru berpandu, empat dron dari Iran
Dalam perkembangan berkaitan, Anadolu Ajansi (AA) melaporkan UAE memaklumkan bahawa sistem pertahanan udaranya berjaya memintas 15 peluru berpandu dan empat dron dari Iran pada Isnin, serangan pertama seumpamanya sejak gencatan senjata antara Tehran dan Washington berkuat kuasa pada 8 April lalu,

Dalam satu kenyataan, Kementerian Pertahanan memaklumkan pemintasan itu melibatkan 12 peluru berpandu balistik dan tiga peluru berpandu krus, selain empat kenderaan udara tanpa pemandu. Serangan itu mengakibatkan tiga individu cedera.
Kementerian itu menambah bahawa sejak permulaan serangan Iran pada 28 Feb lepas, sistem pertahanan udara negara itu telah memintas sejumlah 578 peluru berpandu dan 2,260 dron.
Menurut kementerian itu, serangan berkenaan telah mengakibatkan 13 kematian dan 227 kecederaan.
Awal pagi Isnin, satu kebakaran besar berlaku di Zon Industri Minyak Fujairah, hab tenaga utama di pantai timur UAE, selepas ia menjadi sasaran dron yang dilancarkan dari Iran.
Pihak berkuasa di Fujairah memaklumkan tiga warga India cedera dan telah dibawa ke hospital untuk rawatan.
Ketegangan serantau meningkat selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Feb lepas, sekali gus mencetuskan tindak balas Tehran terhadap Israel serta sekutu AS di Teluk, selain penutupan Selat Hormuz.
Gencatan senjata berkuat kuasa pada 8 April melalui pengantaraan Pakistan, namun rundingan di Islamabad gagal menghasilkan perjanjian berkekalan. Tempoh gencatan senjata itu kemudiannya dilanjutkan oleh Presiden AS Donald Trump tanpa tarikh akhir yang ditetapkan.
Sejak 13 April, AS telah menguatkuasakan sekatan tentera laut yang menyasarkan trafik maritim Iran di Selat Hormuz.





