24.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 5, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Ibu jadi peguam demi selamatkan anak dari tali gantung

    Shopee Sale

    Azlina Abdul Aziz telah menjalani pelbagai fasa kehidupan dalam hidupnya sebelum bergelar seorang peguam jenayah pada usia 52 tahun —pencapaian yang mula diraih ketika lewat usia 40-an itu bukan didorong cita-cita, tetapi keperluan untuk menyelamatkan anaknya daripada hukuman gantung.

    Kisah hidupnya bermula dalam serba kekurangan, zaman kanak-kanak yang sukar telah memaksanya memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga sejak usia muda.

    Dia perlu menjaga bapanya yang merupakan bekas tentera dan menghidap skizofrenia, selain membantu membesarkan tujuh orang adik-beradiknya.

    Tanpa kestabilan kewangan dan dengan tanggungjawab di rumah yang semakin bertambah, pendidikan seolah-olah menjadi satu kemewahan yang tidak mampu dikecapi. Yuran sebanyak RM25 menjadi penghalang antara dirinya dan peluang untuk meneruskan persekolahan — hasrat yang tidak pernah kesampaian.

    Dalam era 1970-an yang masih kurang kefahaman isu kesihatan mental, sistem perundangan telah memberi satu tamparan hebat kepada bapa Azlina, dengan kesihatannya semakin merosot.

    Pada tahun 1978, bapanya, Abdul Aziz Hussein, disabitkan kesalahan mencederakan seorang pegawai dan dipenjarakan selama dua tahun. Satu hukuman yang menyebabkan dia kehilangan manfaat serta pencen tentera, sekali gus menjerumuskan keluarga itu lebih dalam ke kancah kemiskinan.

    “Saya yang menjaga ibu bapa dan adik-beradik. Mempunyai bapa yang menghidap skizofrenia amat mencabar… dari segi kewangan, memang tiada sokongan,” katanya dalam temu bual bersama Malaysiakini baru-baru ini.

    Ketika usia remaja, keluarganya turut diuji dengan kehilangan dua orang adik akibat HIV yang berpunca daripada penyalahgunaan dadah.

    Azlina meninggalkan sekolah tanpa menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), lalu terpaksa mengharungi kehidupan dengan melakukan pelbagai kerja sambilan termasuk bekerja sebagai hamba restoran bagi menyara keluarganya.

    Pada usia 18 tahun, dia mendirikan rumah tangga, namun perkahwinan itu tidak bertahan lama. Selepas tiga tahun, dia memilih untuk berpisah dan melalui lapan tahun berikutnya sebagai ibu tunggal. Tahun-tahun membesarkan anaknya seorang diri itu dipenuhi dengan kesukaran dan ketidakpastian hidup.

    “Saya tidak tahu di mana hendak makan atau bagaimana hendak pulang ke rumah. Saya terdesak,” katanya.

    Dia turut mengimbas bagaimana ada lelaki cuba mengambil kesempatan terhadap keadaannya.

    “Apabila awak seorang ibu tunggal, mereka anggap awak terdesak untuk hubungan seks,” katanya.

    Pada titik paling rendah dalam hidupnya, dia pernah terfikir untuk menyerahkan anaknya dengan bayaran RM2,000 kepada seseorang yang mampu memberi kehidupan lebih baik. Namun ada sesuatu yang menghalangnya.

    “Apabila seorang wanita melahirkan anak, dia akan berubah. Naluri itu… membuatkan kita tetap bertahan,” katanya.

    Anak lelaki itu, yang dinamakan Said, kemudiannya menjadi titik perjuangan terbesar dalam hidupnya.

    Menyelamatkan Said: Misi perundangan

    Pada tahun 2016, dunia Azlina kembali tunggang-langgang apabila pihak polis datang ke rumahnya. Kekeliruan pada awalnya dengan cepat bertukar menjadi kejutan yang sukar dipercayai— anaknya menjadi suspek kes pembunuhan.

    Said digambarkan seorang yang baik hati, mudah percaya orang dan mempunyai kecerdasan tersendiri, walaupun didiagnosis dengan ketidakupayaan intelektual ringan serta ADHD.

    Namun, perkenalannya dengan seorang warga Pakistan telah menjeratnya ke dalam kes pembunuhan itu.

    Lelaki Pakistan itu pernah mengajak Said ke negaranya untuk bekerja di syarikat milik bapanya sepanjang musim panas, tetapi perjalanan itu tidak pernah berlaku — malah syarikat itu didapati tidak wujud.

    Kemudian lelaki itu disiasat polis atas kes pembunuhan dan Said yang tidak mengetahui apa-apa – hanya didorong oleh harapan untuk berkawan dan peluang berdikari sendiri – akhirnya turut terheret sama dalam kekacauan itu sehingga didakwa dengan tuduhan yang membawa hukuman mati.

    Kepercayaan yang dimanipulasi

    Azlina berkata anaknya memang berbeza sejak kecil, dan dia sudah dapat merasakannya walaupun sebelum diagnosis rasmi dibuat.

    Walaupun dalam beberapa aspek dia mempunyai keupayaan intelektual, Said masih menghadapi kesukaran dalam menguruskan tugas harian dan memahami akibat sebalik sesuatu perbuatan. Namun, Azlina tetap percaya bahawa anaknya mampu berdikari.

    Apabila dikenang semula, dia mempersoalkan kembali keputusan itu yang akhirnya memberi masalah kepada anaknya tanpa sedar.

    “Pada usia 20 tahun, kami menyewakan dia sebuah tempat tinggal bersama beberapa pelajar universiti, supaya dia dapat menyusaikan diri, bersosial dan bergaul dengan orang lain, supaya Said boleh mencari kerja dna berlajar bergerak sendiri mengunakan pengangkutan awam.

    “Saya mahu dia berkawan…tetapi saya sepatutnya lebih bertegas dalam jenis kawan yang dia perlu pilih,” kata Azlina.

    Dia percaya sifat mudah percaya anaknya telah dimanipulasi.

    “Kebaikannya menjadi senjata yang digunakan terhadap dirinya sendiri,” katanya.

    Said, yang tidak menyedari apa sebenarnya berlaku dengan rakan warga Pakistannya itu akhirnya didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 atas niat bersama.

    MENARIK:  CPF Pahang rampas produk kesihatan, kosmetik haram RM1 juta

    Dia kemudiannya ditahan reman sementara menunggu perbicaraan kerana kesnya dipindahkan dari Mahkamah Majistret ke Mahkamah Tinggi.

    Proses perbicaraan turut tertangguh akibat pandemik Covid-19 dan penangguhan berulang kali itu menambahkan lagi kesukaran yang dihadapi.

    Apabila Said ditahan, Azlina berkata anakya bertegas bahawa dia tidak mempunyai sebarang kaitan dengan jenayah tersebut dan tidak mengenali individu yang terlibat, termasuk isteri lelaki Pakistan itu yang pada awalnya dianggap sebagai suspek sebelum diklasifikasikan semula sebagai saksi.

    "Macam mana boleh jadi begitu? Itu luar dari bayangan saya," kata Azlina.

    Dalam keadaan terdesak, Azlina dan suaminya, Michael Cawley, mendapatkan khidmat seorang peguam yang reputasinya indah khabar dari rupa berbanding hasil kerjanya.

    Dia kemudiannya mencari peguam lain, namun pengalaman itu meninggalkan kesan yang mendalam, sekali gus membakar tekad membuktikan keyakinannya bahawa anaknya telah terperanangkap di tempat yang salah, bersama orang yang salah, pada waktu yang salah.

    Azlina enggan berputus asa dan tunduk kepada ketakutan. Dia mula membaca penghakiman kes, prinsip undang-undang, dan apa sahaja bahan yang boleh membantu memahami sistem yang sedang mengikat nasib anaknya.

    Ketakutan itu akhirnya menjadi pemangkin perubahan dirinya - mendorongnya untuk mengawal realiti yang tidak mampu dibiarkan tanpa kuasa, serta membina pengetahuan yang diperlukan untuk mempertahankan anaknya secara langsung jika perlu.

    "(Pada awalnya) saya langsung tidak faham istilah seperti mens rea dan actus reus... jadi saya cari di Google."

    Dia meluangkan masa setiap hari di mahkamah, memerhati, mendengar, dan belajar.

    Ketika itu, dia bukanlah seorang peguam, hanya seorang ibu yang cuba memahami sistem yang mempertaruhkan nyawa anaknya.

    "Jika awak tidak dapat mengawal perasaan sendiri, bagaimana awak mahu berjuang untuk anak sendiri?" katanya.

    Pada tahap ini, walaupun sedang berdepan krisis sendiri, dia turut membantu keluarga lain yang berada dalam situasi serupa yang ditemuinya, dalam usaha memahami kes undang-undang yang dihadapi orang tersayang mereka.

    "Apabila saya membantu orang lain, la membantu saya mengharungi hari-hari saya," katanya.

    Melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang

    Perjalanan Azlina akhirnya membawanya ke satu destinasi yang tidak pernah dibayangkannya.

    Tanpa SPM atau laluan akademik formal, dia memohon untuk mengkuti pengajian undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia melalui laluan Accreditation of Prior Experiential Learning for Access (APEL).

    Pada tahun 1998, Azlina pada mulanya pergi ke Australia untuk belajar bidang pengurusan perniagaan, namun terpaksa pulang ke Malaysia bagi menamatkan diploma perniagaannya pada tahun 2000 akibat krisis ekonomi.

    Tahun-tahun berikutnya dihabiskan dengan melakukan pelbagai pekerjaan sebelum dia berkahwin dengan Cawley pada tahun 2003.

    Pasangan itu tinggal di Australia sehingga tahun 2009, sebelum berpindah ke Malaysia atas komitmen kerjaya Cawley.

    Pengalamannya bekerja dalam bidang perundingan sumber manusia dan perniagaan pakaian di Australia, bersama pengalaman hidup yang dilaluinya, menjadi kelayakannya untuk memasuki sekolah undang-undang.

    "Saya berasa sangat gementar," katanya mengenai pengalaman pertama melangkah ke universiti pada usia 44 tahun.

    "Kampusnya sangat besar... tetapi saya bertanya pada diri sendiri, bagaimana saya mampu belajar undang-undang?"

    Dia menumpukan sepenuh masa kepada pengajiannya sementara suaminya memikul tanggungjawab di rumah.

    Undang-undang menjadi talian hayat yang memastikan dirinya terus fokus untuk menyelamatkan Said — “Inilah yang membuatkan saya waras.”

    Selepas empat tahun, dia menamatkan pengajian pada Disember 2022 dan menyelesaikan latihan dalam kamar (pupillage).

    Tambahnya, perjalanan itu penting sekiranya suatu hari nanti dia perlu tampil sebagai peguam bagi membela Said.

    Dari banduan ke insan bebas

    Tempoh Said di penjara amat mencabar kerana dia sukar memahami keadaan sekeliling, dibuli, dan kadangkala bertindak balas dalam kekeliruan.

    Namun, pada pandangan Azlina, dia mengharunginya dengan ketabahan yang masih sukar untuk difahaminya hingga kini.

    “Saya perlu kuat seperti dia. Dia sendiri tidak sedar bahawa dia berada di penjara. Baginya, itu hanyalah satu fasa,” kata Azlina, sambil menambah bahawa Said pernah bercakap tentang rancangan untuk melancong ke Korea selepas dibebaskan, yang disangkanya akan berlaku tidak lama lagi.

    “Dia tidak tahu bahawa dia dipenjarakan dan masih menanti untuk meneruskan kehidupannya semula,” kongsinya.

    Apabila dia dibebaskan pada tahun 2022, kelegaan hadir, namun bukan penamat segalanya.

    Said, yang kini berusia 30 tahun, menghadapi kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan di luar penjara, dan ibu bapanya sekali lagi tampil membantu proses peralihan agar dia dapat kembali menjalani kehidupan yang stabil dan bermakna.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah