Pemuda Amanah hari ini tampil mengingatkan Umno yang pernah memberi amaran kepada parti-parti dalam kerajaan perpaduan supaya tidak ‘mencuri’ ahli daripada parti rakan.
Ketuanya Mohd Hasbie Muda turut mempersoalkan apa pendirian semasa pemimpin Umno berhubung perkara itu selepas wujud dakwaan ahli-ahli parti komponen kerajaan Madani dipujuk menyertai gagasan Rumah Bangsa.
“Apa pendirian semasa pemimpin Umno dalam soal 'curi ahli' memandangkan wujud dakwaan ada ahli parti-parti komponen dalam Kerajaan Perpaduan dipujuk menyertai mereka atas nama gagasan Rumah Bangsa?” katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Umno sebelum ini mengeluarkan amaran agar parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak ‘mencuri ahli’ Umno demi menjaga hubungan dan perpaduan antara satu sama lain.
Isu berkenaan berbangkit ketika bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Tengku Zafrul Abdul Aziz menjadi tumpuan susulan penyertaannya sebagai ahli PKR.
Pada penghujung Dis 2024 pula, amaran itu turut ditegaskan Pemuda Umno Malaysia yang ketika itu mencadangkan BN mengkaji semula hubungan mereka dengan “parti kawan" ekoran ada desas-desus menyatakan ada ahli Umno yang sedang dipikat pihak luar.
Ketuanya Dr Akmal Saleh, berkata langkah tersebut wajar difikirkan jika ada "kawan dalam kerajaan" yang tidak menghormati mereka.
Akmal yang juga exco Melaka berkata, Umno mempunyai maruah dan parti itu tidak boleh diperlekehkan.
Pada Ogos tahun lalu Tengku Zafrul akhirnya dilaporkan sah menyertai PKR selepas desas-desus panjang mengenai hasratnya untuk meninggalkan Umno.
Dalam perkembangan terkini Umno dilaporkan kembali menerima penyertaan bekas-bekas ahlinya selain daripada parti komponen PH.
Antara lain penyertaan bekas Ketua Amanah Padang Besar, Mohamad Yahaya, dan bekas Ketua Pemuda Amanah Perlis, Dr Ahmad Fadhzil Mohamad ke parti itu.
Mengulas lanjut Mohd Hasbie menyifatkan senario itu amat tidak sihat dan pemimpin Umno perlu menyatakan pendirian rasmi mereka.
“Saja nak ingatkan pemimpin Umno takut mereka sudah terlupa.
“Senario ini amat tidak sihat dan perlukan pendirian rasmi para pemimpin utama Umno memandangkan sebelum ini mereka paling lantang membantah ahli mereka yang sertai parti komponen Kerajaan Perpaduan yang lain,” katanya yang juga ahli Dewan Negara.





