Gabungan parti kerajaan perlu menang dalam pilihan raya kecil Ayer Kuning, Perak bagi memberi isyarat bahawa rakyat menolak politik toksik dan ekstrem.
Setiausaha Publisiti Pemuda DAP (Dapsy) Ho Chi Yang juga berkata ia juga penting demi mempertahankan perpaduan masyarakat majmuk dan kepelbagaian budaya di Perak dan Malaysia.
“Selama ini, PN tidak membawa apa-apa nilai progresif atau cadangan konstruktif kepada rakyat, sebaliknya terus bergantung kepada politik kebencian dan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan sempit untuk memecahbelahkan masyarakat berbilang kaum.
“Oleh itu, kemenangan calon Kerajaan Perpaduan di Ayer Kuning adalah penting untuk menghalang agenda ekstrem PN daripada menular di Perak,” katanya.
Tanpa memberikan contoh khusus, Ho berkata Perikatan Nasional (PN) khususnya PAS berulang kali membuktikan bahawa mereka tidak menghormati kepelbagaian budaya.
Malah, katanya, parti lawan mereka itu juga tidak berhenti menggunakan “naratif bahaya termasuk fitnah bertubi-tubi” untuk merosakkan perpaduan negara.
Pilihan raya kecil Ayer Kuning perlu diadakan susulan kematian anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanah Rata Ishsam Shahruddin pada usia 58 tahun kelmarin akibat serangan jantung.

Allahyarham, bekas pemain Perak dan Harimau Malaya, tumbang semasa bersalaman dengan pemain bola sepak dalam sebuah kejohanan di Stadium Bandar Raya, George Town, Pulau Pinang.
Seluruh jentera Dapsy digerakkan
Dalam kenyataan hari ini, Ho juga berkata seluruh jentera Dapsy akan digerakkan untuk menjamin kemenangan calon Kerajaan Perpaduan.
Isham membuat penampilan sulung politik pada pilihan raya umum 2022.
Calon Umno itu menewaskan empat yang lain untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dengan majoriti 2,213 undi.
Dia ketika itu mengalahkan calon Pakatan Harapan, PN, Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
BN dan PH ketika itu belum mengadakan sebarang kerjasama politik.
Untuk pilihan raya kecil akan datang, yang mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kekosongan, di atas kertas BN dan PH mempunyai kelebihan berdasarkan jumlah undi yang diraih sebelum ini.
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi yang juga timbalan perdana menteri mengarahkan BN Perak supaya segera memulakan program di Ayer Kuning.





