Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat Permodalan Nasional Bhd (PNB) melancarkan Kempen Pandu Impianmu 2.0 yang menawarkan pelbagai hadiah bernilai RM857,000.
Hadiah menarik itu termasuk sebuah kenderaan mewah BMW 320i M Sport sebagai hadiah utama, seunit Proton e.MAS 7 serta enam unit Perodua Bezza.
Menerusi kenyataannya, PNB memaklumkan kempen yang terbuka kepada semua pelabur unitnya, bermula pada 1 April 2026 dan merangkumi dua pusingan cabutan hadiah.
“Semua pelabur ASNB boleh menyertainya dengan hanya mendaftar dan melabur minimum RM500 dalam mana-mana unit ASNB untuk layak menerima satu tiket cabutan,” menurutnya.
Setiap pelaburan melalui platform digital seperti myASNB, termasuk penasihat pelaburan robo (RIA) akan menerima tiket berganda untuk jumlah pelaburan sama.
“Sebagai contoh, pelaburan sebanyak RM1,000 akan menerima dua tiket jika dibuat di cawangan atau ejen manakala empat tiket sekiranya melalui myASNB atau RIA,” menurutnya.
Cabutan pertama yang berlangsung pada 1 April 2026 hingga 30 September 2026 menawarkan hadiah sebuah Proton e.MAS 7, tiga unit Perodua Bezza, 10 pakej penginapan tiga hari dua malam (3H2M) di Hard Rock Hotel Pulau Pinang atau Hard Rock Hotel Desaru serta 50 PIN Touch ‘n Go Reload bernilai RM1,000 setiap satu.
Bagi cabutan kedua bagi tempoh 1 April 2026 hingga 31 Mac 2027, menawarkan hadiah utama sebuah BMW 320i M Sport, tiga Perodua Bezza, lima keping kad Petronas bernilai RM5,000, 10 Pakej penginapan 3H2M di Hard Rock Hotel Pulau Pinang atau Hard Rock Hotel Desaru, 50 PIN Touch ‘n Go Reload bernilai RM1,000 setiap satu.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB Fadzihan Abbas Mohamed Ramlee berharap Kempen Pandu Impianmu 2.0 akan terus menjadi aspirasi agar lebih ramai rakyat negara ini mula melabur, seterusnya menyemai langkah awal ke arah amalan kewangan berdisiplin sepanjang hayat.
“Di ASNB, kami percaya pelaburan adalah untuk semua tanpa mengira latar belakang dan jumlah pelaburan.
“Matlamat kami adalah mendidik dan menyediakan peluang kepada semua untuk melabur, membina tabungan dan seterusnya membina kehidupan lebih sejahtera,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Kempen Pandu Impianmu, Gen Labur dan Labur & Level-Up serta Pelancaran Kempen Pandu Impianmu 2.0 di Kuala Lumpur, hari ini.
Menurut PNB, untuk layak sebagai pemenang, pelabur perlu mempunyai simpanan bersih minimum RM500 sepanjang tempoh kempen berkenaan.
Pada majlis sama, pemenang Kempen Pandu Impianmu, Gen Labur! menerima hadiah masing-masing yang menyaksikan Fatin Hazirah Mohd Mustapa muncul sebagai pemenang pertama manakala hadiah kedua jatuh dan ketiga masing-masing menjadi milik Ashraf Aizzuddin Abd Rahni dan Tan Yau Siang.
Di samping itu, lima pemenang utama kempen Labur & Level-Up turut diumumkan yang membawa pulang hadiah bernilai RM20,118.00.
Kempen Labur & Level-Up yang diadakan pada 1 Jun 2025 hingga 31 Mac 2026, memerlukan pelabur ASNB melabur menerusi Auto Labur dengan nilai minimum RM50 setiap bulan.
Sebanyak 2,835 pemenang telah dipilih sepanjang tempoh kempen berlangsung.
Jumlah atau nilai hadiah yang ditawarkan menerusi Kempen Pandu Impianmu, Gen Labur! adalah sebanyak RM687,000 manakala RM1.18 juta telah ditawarkan menerusi Kempen Labur & Level-Up.
Nilai hadiah keseluruhan kempen-kempen ASNB itu adalah RM2.74 juta.





