Fadhlina Sidek mengetuai senarai 1,328 penerima Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran bersempena dengan Hari Jadi ke-77 Yang di-Pertua Negeri Melaka Mohd Ali Rustam hari ini.
Fadhlina menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (DGSM) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima gelaran sama antaranya Hakim Besar Malaya Hashim Hamzah, Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Abd Halim Aman.
Selain itu, Panglima Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Jen Muhamad Norazlan Aris, Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Downstream Petronas Sazali Hamzah serta Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Megat Zulkarnain Omardin.
Sebanyak 56 individu menerima anugerah Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira, antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benut Mohd Sumali Reduan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman M Kumar, Ketua Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara Mohd Azhar Abd Hamid dan Ketua Polis Melaka Dzulkhairi Mukhtar.
Sebanyak 14 individu pula dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk, antaranya Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Al Hambra Juhar, Hakim Mahkamah Tinggi Suria Kumar A/L Durairaj Johson Paul dan Panglima Divisyen Ketiga Infantri Mej Jen Sani S Omar.
Sebanyak 189 penerima dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk iaitu kepada Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian TV Media Prima Berhad Azhari Muhiddin dan penyanyi kelahiran Merlimau, Jasin iaitu Siti Roziana Zain atau Ziana Zain.
Dalam kategori lain, sebanyak lima individu ditauliahkan Jaksa Pendamai manakala 106 penerima dianugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM).
Turut dianugerahkan ialah Bintang Cemerlang Melaka (B.C.M) kepada 151 penerima, Bintang Khidmat Terpuji (BKT) (244 penerima), Pingat Jasa Kebaktian (PJK) (386 penerima), Pingat Bakti Masyarakat (PBM) (161 penerima) dan Pingat Khidmat Lama (PKL) (lima penerima).
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Salhah Salleh memaklumkan keseluruhannya penganugerahan itu mencerminkan penghargaan Melaka terhadap individu yang memberikan khidmat, sumbangan dan bakti dalam pelbagai bidang serta memainkan perananan dalam pembangunan dan kesejahteraan negeri.
Beliau berkata pelaksanaan Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Melaka 2026 diselaraskan bersama semua agensi berkaitan serta mematuhi prosedur dan tatacara ditetapkan bagi memastikan kelancaran, keselamatan dan keselesaan penerima serta tetamu sepanjang istiadat berlangsung.





