Ketua Pemuda Bersatu (Armada), Hilman Idham mendesak kerajaan agar mendedahkan kepada umum semua ekshibit dan dokumen sebenar yang dirujuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji.
Dia berkata langkah itu bagi memastikan dapatan RCI dapat diteliti secara telus dan menyeluruh oleh rakyat.
“Rakyat berhak mengetahui bukan sahaja apa yang disimpulkan, tetapi bagaimana kesimpulan itu dibuat dan berdasarkan bukti apa,” kata Adun Gombak Setia itu dalam satu kenyataan hari ini.
Hilman mengakui bahawa dokumen yang dilindungi undang-undang atau pendedahannya boleh menjejaskan siasatan yang sedang berjalan.
Namun, dia berkata ini tidak boleh dijadikan alasan untuk menutup keseluruhan rekod bukti daripada pengetahuan rakyat.
Laporan suruhanjaya siasatan diraja mengenai Tabung Haji yang didedahkan kepada umum bulan lalu mendapati bonus tinggi dibayar kepada kakitangan dan ahli lembaga pengarah Tabung Haji Properties tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Pembayaran bonus berjumlah RM2.19 juta kepada pengarah dan pegawai terpilih anak syarikat itu diluluskan tanpa mengikut prosedur undang-undang yang diwajibkan.
Laporan itu turut menyorot campur tangan politik dan penglibatan pemimpin Umno dalam lembaga pengarah Tabung Haji.
Beberapa keputusan, termasuk pengagihan keuntungan (hibah), pembayaran haji dan Bantuan Kewangan Haji mendapati dipengaruhi oleh pertimbangan politik.
Pada 21 Ogos, polis menyatakan lima kertas siasatan telah dibuka berhubung kes yang dikaitkan dengan Tabung Haji, dengan keterangan daripada 127 individu dirakamkan setakat ini.
Menurut Bernama, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Rusdi Isa berkata siasatan dijalankan antaranya mengikut Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.





