Segamat pernah menjadi bandar transit penting yang menghubungkan utara dan selatan Semenanjung Malaysia melalui Jalan Persekutuan 1 sebelum pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) pada era 1980-an mengubah aliran pembangunan ekonomi ke kawasan lain seperti Pagoh dan Tangkak.
Perubahan itu memberi kesan jangka panjang kepada kedudukan ekonomi Segamat sebagai kawasan persinggahan utama, sekali gus mengubah dinamik pembangunan setempat.
Bagi sebahagian penduduk, kesan tersebut masih dirasai hingga kini, khususnya dari segi peluang pekerjaan dan pertumbuhan ekonomi tempatan.
Lim, 71, yang sudah puluhan tahun berniaga di bandar itu, percaya Segamat akan menikmati nasib berbeza sekiranya lebuh raya mempunyai susur keluar di daerah berkenaan.
"Dulu ini lebuh raya ke Kuala Lumpur. Kalau dari Singapura ke Kuala Lumpur, mesti satu malam (bermalam) di Segamat.
"Pada 80-an kerajaan memang nak buat lebuh raya masuk Segamat, tapi bila ada ahli politik masuk campur, (pembinaan lebuh raya) buat dekat Pagoh dan Tangkak sahaja," kata Lim dengan nada kecewa.
Tinjauan di Segamat dan Sekijang selama dua hari mendapati isu peluang pekerjaan dan banjir kekal menjadi antara kebimbangan utama pengundi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
Empat kerusi DUN di bawah Parlimen Segamat dan Sekijang iaitu Buloh Kasap, Jementah, Pemanis dan Kemelah dijangka menyaksikan persaingan sengit antara parti-parti bertanding.
Buloh Kasap: Pertembungan satu lawan satu BN–PH
DUN Buloh Kasap yang mempunyai 28,973 pengundi menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara BN dan PH, selepas PN memutuskan untuk tidak bertanding di kawasan itu.
BN mempertaruhkan penyandang Zahari Sarip, manakala PH menampilkan Noraziah Mohd Razit atau Rozy Rasit.

Pada PRN 2022, Zahari menang dengan majoriti 5,377 undi selepas memperoleh 8,956 undi atau 57.1 peratus.
Data pengundi menunjukkan majoriti terdiri daripada kelompok 21 hingga 39 tahun, diikuti pengundi berusia 50 tahun ke atas.
Komposisi kaum pula terdiri daripada 56 peratus Melayu, 31.5 peratus Cina, 10.9 peratus India dan selebihnya lain-lain.
Kempen PH memberi tumpuan kepada isu tempatan termasuk infrastruktur, bekalan air dan peluang pekerjaan, selain usaha meraih sokongan pengundi muda dan atas pagar.
Sementara itu penduduk terus membangkitkan isu pemilikan tanah generasi kedua Felda, masalah gangguan bekalan air bersih yang kronik, serta isu kemudahan kesihatan.

Seorang penduduk, yang hanya mahu dikenali sebagai Rafik, berkata masalah asas masih belum diselesaikan walaupun banyak aduan telah dibuat.
"Antara isu yang dihadapi Felda-Felda ialah membabitkan isu paip lama yang perlu ditukar. Sudah banyak aduan dibuat kepada wakil rakyat di sini (Parlimen dan DUN) tapi tiada tindakan," katanya yang menetap di Taman Yayasan.
Selain itu, kekurangan peluang pekerjaan dalam sektor perindustrian moden di Segamat turut mendorong penghijrahan anak muda ke bandar seperti Johor Bahru, Kuala Lumpur dan Singapura.
Situasi ini turut mempengaruhi strategi kempen apabila calon lebih banyak mendekati ibu bapa bagi memujuk anak-anak mereka yang bekerja di luar kawasan supaya pulang mengundi.
Jementah: Pertembungan sengit DAP–MCA
DUN Jementah yang mempunyai 41,137 pengundi dilihat sebagai antara kerusi paling sengit dengan majoriti pengundi Cina sekitar 50.5 peratus.
Pada pilihan raya lalu, Ng Kor Sim (PH-DAP) menang tipis dengan memperoleh 40.9 peratus undi popular, manakala See Ann Giap (BN-MCA) mengekor rapat di belakang dengan menguasai 37.6 peratus undi.
Bagaimanapun, undi PH semasa PRU meningkat kepada 53.82 peratus.
Berdasarkan komposisi kaum, Jementah memiliki peratusan pengundi Cina sebanyak 50.5 peratus, diikuti pengundi Melayu sebanyak 40.4 peratus, India 7.7 peratus dan lain-lain sebanyak 0.4 peratus.
Penyandang kerusi, Ng Kor Sim (PH-DAP) sekali lagi akan dicabar oleh See Ann Giap (BN-MCA) serta Saifullah Abdul Wahab (PN-PAS) dalam saingan tiga penjuru.
Bagaimanapun tinjauan Malaysiakini di lapangan mendapati pertarungan sebenar adalah antara PH dan BN.
Sebahagian pengundi yang ditemui mengambil pendirian berdiam diri, didorong kebimbangan terhadap implikasi sokongan politik.
Seorang pengundi yang hanya mahu dikenali sebagai Sabrina berkata, ramai dalam kalangan pengundi B40 berhati-hati dalam menyatakan pendirian kerana bimbang kesan terhadap bantuan kerajaan
"Jika kami sokong kerajaan PH secara terbuka mungkin bantuan kami dari kerajaan negeri tidak dapat lag. Sama juga, sokong kerajaan BN, pusat akan hentikan bantuan kepada kami," katanya.
Katanya, ekonomi domestik perlu dirancakkan dengan kemasukan lebih banyak kilang berteknologi tinggi, selain kerajaan pusar perlu menyelesaikan isu banjir yang kerap menenggelamkan premis-premis perniagaan di Segamat.
Pemanis: Isu Felda dan penghijrahan anak muda
DUN Pemanis yang mempunyai 30,458 pengundi menyaksikan saingan tiga penjuru antara BN, PH dan PN.
BN mempertahankan kerusi itu melalui penyandang Anuar Abd Manap, yang akan berdepan calon PH-PKR, Jalex Lee En Xiang dan calon PN daripada parti MIPP, A Ariventharan.
Bercakap kepada Malaysiakini, Anar menekanan bahawa pengundi kini lebih menilai prestasi berbanding faktor parti atau kaum.
"Pengundi Melayu sekarang pun tak tengok bangsa atau kaum. Mereka tengok siapa yang bekerja, siapa yang selalu tunjuk muka, dan siapa yang selalu bantu mereka dalam kawasan. Itu faktor utama sebenarnya kalau awak nak menang," katanya.
Di pihak PH dan PN, kedua-duanya cuba mencabar dominasi BN dengan tawaran manifesto pembangunan dan keyakinan terhadap sokongan akar umbi.
Namun, isu Felda menjadi antara perhatian utama di kawasan ini, khususnya di Felda Medoi.

Dalam kalangan peneroka veteran dan generasi kedua, terdapat rasa tidak puas hati terhadap pengurusan ladang yang didakwa diserahkan kepada anak syarikat Felda iaitu Technoplant Sdn Bhd.
Peneroka veteran, Ramli Saadon, 77, mendakwa proses pengurusan tersebut menimbulkan isu salah urus apabila pegawai ladang didakwa kurang turun ke lapangan untuk memantau keadaan tanaman sawit, sekali gus menjejaskan hasil dan produktiviti.

Kelesuan aktiviti ekonomi dan kekurangan peluang pekerjaan di Segamat turut memberi kesan kepada kelangsungan komuniti peneroka, apabila semakin ramai generasi muda berhijrah ke bandar untuk mencari pekerjaan.
Ramli berkata penghijrahan itu menyebabkan jumlah murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Medoi merosot dengan ketara.
"Jumlah pelajar merosot daripada 300 orang kepada bawah 100 orang akibat ketiadaan generasi muda yang menetap di sini," katanya.
Seorang lagi peneroka Felda Medoi, Abidin Yusuf, 76, berkata penghijrahan anak muda menyebabkan kawasan itu semakin lengang dan menjejaskan kelangsungan komuniti setempat.
"Segamat yang sepatutnya sudah lama membangun kini terpaksa menyaksikan generasi ketiganya berkurang akibat ketiadaan peluang ekonomi.
"Kawasan Felda di bawah DUN Pemanis perlu memajukan kawasan ini. Selama ini, anak-anak muda terpaksa keluar daripada Segamat untuk mencari pekerjaan," katanya.

Menurut Abidin, kebanyakan anak peneroka kini bekerja di kawasan perindustrian seperti Pasir Gudang, Johor Bahru dan Singapura yang menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan serta kadar upah yang lebih tinggi.
Kemelah: Tekanan kos hidup dan isu pembangunan
DUN Kemelah yang mempunyai 35,365 pengundi menyaksikan perubahan strategi politik BN apabila gabungan itu mempertaruhkan K Raven Kumar (MIC) bagi menggantikan penyandang, N Saraswati.
Pada PRN 2022, BN mempertahankan kerusi itu menerusi Saraswati selepas memperoleh 41.1 peratus undi popular, menewaskan PH-Amanah yang meraih 32.3 peratus.
Bagaimanapun, pembangkang berharap dapat memanfaatkan momentum kemenangan PH di kerusi Parlimen Sekijang pada PRU15 untuk menembusi kubu tradisi BN.
Bagi sebahagian pengundi, isu pembangunan dan peluang pekerjaan jauh lebih penting berbanding retorik politik.
Pesara guru, Aziz, 60, berkata pemimpin tidak seharusnya hanya turun padang ketika musim pilihan raya.
"Jangan bila pilihan raya baru orang turun. Lihat Inland Port (Pelabuhan Daratan) yang dimulakan zaman mendiang Lim Leong Sik, kemudian tak ada apa-apa progresif.
"Sekarang baru minggu lepas menteri pengangkutan (Anthony Loke) datang buat majlis.
"Harap ini bukan satu lagi janji pilihan raya yang akan tergendala selepas PRN," kata Aziz.
Seorang peneroka Felda, Abidin, pula berkata kos sara hidup yang semakin meningkat dan pendapatan sekitar RM1,200 sebulan menyukarkan kehidupannya untuk menyara 13 ahli keluarga, termasuk seorang anak orang kurang upaya (OKU).
"Tiada peluang pekerjaan, ahli keluarga terpaksa pindah ke bandar untuk mencari kerja. Ibu bapa duduk keseorangan di kampung. Ini realiti di sini di mana banyak ibu bapa berusia hidup keseorangan di Segamat," katanya.
Bagi Ravi, 45, yang kini bekerja di Kuala Lumpur selepas perniagaan restorannya di Segamat tidak bertahan, berpendapat daerah itu memerlukan lebih banyak peluang pekerjaan dan pelaburan baru.
Segamat tak boleh bergantung kepada hasil pertanian kelapa sawit dan pertanian yang lain selama-lamanya. Mesti kena ada penyelesaian ekonomi untuk anak muda di sini," katanya.





