Lima warden yang ditempatkan di Penjara Taiping akan didakwa esok (Jumaat) kerana mencederakan banduan dalam insiden yang sebelum ini digambarkan oleh pihak penjara sebagai “rusuhan”.
Tiga warden akan didakwa atas pertuduhan menyerang dan menyebabkan kecederaan manakala dua lagi akan didakwa kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata.
Polis pada satu kenyataan hari ini berkata pertuduhan itu berkaitan kecederaan terhadap tiga mangsa.
Pada 17 Jan lalu, sekumpulan besar tahanan yang dipindahkan ke Penjara Taiping diserang oleh pengawal ketika mereka sedang dibawa dari sebuah dewan sementara ke blok penjara yang berada dalam keadaan sangat teruk dan tidak sesuai untuk didiami manusia.

Menurut laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), para banduan sebelum itu gagal mencapai persetujuan dalam rundingan agar mereka tidak dipindahkan ke blok berkenaan.
Bagaimanapun, mereka tidak melawan apabila pengawal memaksa mereka berpindah.
Sebaliknya, pengawal yang bertindak ganas sebelum kemudian menggambarkan banduan terbabit sebagai mencetuskan rusuhan.
Bagaimanapun, bukti CCTV mendapati tiada sebarang kejadian banduan bertindak ganas.
[Baca berita asal]





