Najib Razak adalah salah seorang pemidato terbaik, kata peguam bela utama bekas perdana menteri itu kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Muhammad Shafee Abdullah memberitahu hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah pagi ini pada permulaan tertuduh mengambil keterangan untuk menangkis kes salah guna kuasa dan pengubahan wang haram 1MDB bernilai RM2.27 bilion.
"Anak guam saya adalah salah seorang penceramah dan pembaca terbaik," kata peguam veteran itu kepada mahkamah jenayah.
Sequerah meminta penjelasan mengenai berapa lama Najib akan membacakan kenyataan pembelaan penuh, yang dipecahkan kepada dua jilid.
Hakim tertanya sama ada pembacaan kenyataan saksi yang banyak itu boleh disegerakan. Shafee kemudian berkata anak guamnya akan memberi perhatian mengenai perkara itu.
Najib kemudian mula membaca lima muka surat pertama kenyataan saksi bertulisnya, yang meliputi kelahirannya di Kuala Lipis, Pahang pada 23 Julai 1953, dan sebahagian daripada kebangkitannya dalam karier politik sehingga menjadi perdana menteri pada 3 April, 2009.
Bekas menteri kewangan itu kemudiannya berjaya sampai ke bahagian bahawa dia bukan perdana menteri pertama yang memegang kedua-dua jawatan perdana menteri dan portfolio kewangan.
Najib menegaskan bahawa perdana menteri pertama Malaysia Tunku Abdul Rahman memegang kedua-dua portfolio dari 1957 hingga 1959 dan kemudian 1960 hingga 1962, allahyarham bapa Najib sendiri, Abdul Razak memegang kedua-dua jawatan itu dari 1970 hingga 1976, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengambil alih portfolio kewangan dalam 1990-an, selain bekas perdana menteri Abdullah Ahmad Badawi semasa mentadbir negara.
"Dua perananan itu membolehkan perdana menteri menyelia dan menyelaras dasar ekonomi dan fiskal, dan amalan itu berterusan sehingga hari ini dengan perdana menteri semasa," kata Najib merujuk kepada Anwar Ibrahim.

Pada ketika ini, Shafee bertanya kepada Najib sama ada ia adalah pindaan kepada kenyataan saksi, dan tertuduh menjawab ia adalah pindaan yang tidak ditunjukkan dalam kenyataan saksi bertulis.
Shafee kemudian meminta penangguhan sebentar perbicaraan supaya pasukan pembelaan dapat menyemak salinan kenyataan saksi.
Peguam itu sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa mereka cuba sedaya upaya untuk mendapatkan keterangan saksi bertulis Najib dalam tempoh sebulan dengan keadaan cuba menghubungi Jabatan Penjara Kajang untuk membenarkan pasukan pembelaan bertemu tertuduh dan merekodkan keterangan saksinya.
Sequerah kemudian menangguhkan prosiding sehingga 2 petang ini.
Pada prosiding pagi ini, Shafee turut memaklumkan hakim bahawa pasukan pembelaan akan memanggil 20 lagi saksi termasuk saksi pakar.
Berbaju sut biru bertali leher biru, Najib dilihat menggunakan tongkat sambil perlahan-lahan keluar dari kandang saksi.
Pada 30 Okt lepas, mahkamah jenayah memerintahkan Najib membela diri atas empat salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM2.27 bilion dana daripada 1MDB.
Sequerah memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie (boleh dipertanggungjawabkan) terhadap bekas menteri kewangan itu ke atas syarikat yang dimiliki sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).
Hakim mahkamah jenayah memutuskan Najib perlu menjawab pertuduhan berikutan 50 keterangan saksi semasa peringkat prosiding pendakwaan yang berlangsung enam tahun sejak perbicaraan bermula pada 2019. Tertuduh pertama kali didakwa pada 2018.
Pendakwa raya mendakwa ahli perniagaan buruan Low Taek Jho (Jho Low) terlibat dalam salah laku kewangan di 1MDB dengan arahan Najib.
Bagaimanapun, pasukan pembelaan bekas ahli parlimen Pekan itu berhujah bahawa tertuduh tidak mempunyai pengetahuan tentang salah laku di 1MDB dan penyelewengan di situ semata-mata dilakukan oleh Jho Low dan ahli pengurusan 1MDB.
Najib kini menjalani hukuman penjara enam tahun atas kes salah guna kuasa berasingan membabitkan RM42 juta dana daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB.
Dia juga sedang menghadapi perbicaraan jenayah yang sedang dijalankan bagi kes pengubahan wang haram SRC RM27 juta.
Sebelum ini, Najib dibebaskan dalam satu lagi kes jenayah membabitkan kes laporan audit 1MDB.
Minggu lepas dia juga diberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) dalam kes pecah amanah jenayah (CBT) RM6.6 bilion Syarikat Pelaburan Petroleum Antarabangsa (IPIC).





