31.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 16, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Ahli politik manipulasi isu kaum halang perpaduan, bukan sekolah vernakular’

    Shopee Sale

    Pemuda DAP menegaskan bahawa tindakan segelintir ahli politik yang mengeksploitasi isu perkauman adalah penghalang perpaduan, dan bukannya sekolah vernakular.

    Ini selepas seorang pemimpin Pemuda Umno melontarkan cadangan kepada pihak-pihak yang membicarakan soal perpaduan negara dengan idea supaya sekolah vernakular dimansuhkan.

    "Kebanyakan isu perkauman berpunca daripada segelintir ahli politik yang sengaja menggunakan isu kaum sebagai alat politik, dan bukan sekolah vernakular sebagai puncanya," kata Naib Ketua Pemuda DAP Harish Liinesh Selluandan dalam satu kenyataan hari ini.

    Harish menekankan bahawa perpaduan tidak boleh dibina dengan menekan sebelah pihak tetapi dengan menyediakan peluang yang sama untuk semua berkembang dan maju bersama.

    "Jika benar kita mahu membina perpaduan yang kukuh, kita perlu memastikan sistem pendidikan yang adil dan inklusif untuk semua, tanpa diskriminasi kaum atau kepercayaan,” tambahnya.

    Harish mengulas gesaan Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Zuhir Ghazali untuk memansuhkan sekolah vernakular dengan alasan mengukuhkan perpaduan negara.

    Sambil menolak gesaan itu sebagai “tidak berasas dan bersifat sempit”, dia berkata perpaduan tidak boleh dicapai dengan menafikan hak pendidikan dalam bahasa ibunda seseorang, yang telah lama menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara.

    "Pemuda DAP menegaskan bahawa sekolah vernakular bukan penghalang kepada perpaduan nasional, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada kepelbagaian yang menjadi kekuatan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk.

    "Hak kewujudan sekolah vernakular dijamin dalam Perlembagaan Malaysia, dan ia bukanlah punca utama perpecahan seperti yang sering didakwa oleh pihak tertentu.

    MENARIK:  Jenayah alam sekitar disabit di mahkamah meningkat tahun lepas - Nik Nazmi

    "Kajian serta pengalaman negara-negara lain menunjukkan bahawa pendidikan pelbagai bahasa sebenarnya memberi kelebihan kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara,” tambahnya.

    Harish berkata perpaduan perlu dipupuk melalui persefahaman dan penerimaan antara kaum, bukan dengan menghapuskan kepelbagaian.

    "Jika benar sejarah semua kaum mahu diajar di peringkat sekolah rendah demi perpaduan, ia boleh dilakukan tanpa perlu menghapuskan sekolah vernakular," tambahnya.

    Tambahan pula, Harish berkata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek telah menegaskan bahawa kementerian terus mengiktiraf sekolah vernakular dalam rangka pendidikan negara, selaras dengan Akta Pendidikan 1996.

    Dia berkata Pemuda DAP menolak sebarang cadangan yang bertujuan untuk "kambinghitamkan” sekolah vernakular dalam isu perpaduan negara.

    Cadangan pemimpin Pemuda Umno untuk menutup sekolah vernakular itu sebagai tindak balas terhadap Ahli Parlimen DAP Khoo Poay Tiong yang mencadangkan supaya sejarah semua kaum di Malaysia dimasukkan dalam buku teks bermula sekola rendah.

    Untuk rekod, sekolah-sekolah vernakular di negara ini tidak terasing mengikut kaum, malah, sekolah Cina dilaporkan semakin popular dan mendapat tempat di kalangan pelajar Melayu.

    Minggu lalu adalah dilaporkan bahawa semua pelajar tahun satu yang mendaftar di SJKC Kong Aik di Mata Ayer, Perlis, bukan berbangsa Cina. Malah, 93 daripada 190 pelajar di sekolah itu adalah bangsa Melayu.

    SJKC dan SJKT juga mengikuti sukatan pelajaran yang sama dengan sekolah kebangsaan.

    Bagaimanapun, sekolah-sekolah swasta dan persendirian Cina mengikuti sukatan pelajaran yang berbeza.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah