Seorang pemimpin kanan PN sekali gus PAS mengucapkan “selamat maju jaya” kepada Bersatu selepas parti terbabit memutuskan untuk menggunakan lambang sendiri berbanding PN dalam PRN Negeri Sembilan.
Menurut ketua penerangannya, Annuar Musa, keputusan diambil Bersatu itu – yang dianggap mendahului PN – adalah tidak mengejutkan dan ia wajar dihormati.
Di pihak PN, kata bekas Setiausaha Agung Umno itu lagi, isu calon, kerusi dan lambang hanya akan dimuktamadkan pagi ini melalui mesyuarat khas majlis tertinggi (MT) parti berkenaan.
“Apa jua alasan yang digunakan untuk bertanding dengan logo sendiri di PRN Negeri Sembilan, kita (PN) fahami terutama apabila Bersatu sebenarnya memaklumkan secara rasmi kepada jawatankuasa perundingan kerusi hasrat mahu 15 kerusi (wish list) yang sudah pasti tidak tertunai (kerana) PN mempunyai enam parti gabungan serta jumlah kerusi yang kurang daripada 15.
“Tidak mungkin semua (kerusi) mesti dibolot Bersatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru, tambah bekas Setiausaha Agung Umno itu lagi. keputusan menggunakan logo sendiri adalah terbaik buat Bersatu.
“Bersatu kini bebas untuk bertanding di 15 kerusi atau lebih dalam PRN Negeri Sembilan ini,” katanya lagi.
Hubungan di antara Bersatu dan PAS kekal tegang di sebalik hakikat PN berdepan dengan PRN yang bermula di Johor dan kini Negeri Sembilan. PN juga dijangka berdepan dengan PRN Melaka selepas ini.

Malam tadi Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, mengumumkan mereka akan memasuki PRN Negeri Sembilan menggunakan logo sendiri selepas kecewa terhadap PAS – yang kini menguasai PN – apabila menangguhkan mesyuarat jawatankuasa perundingan kerusi.
Kata Muhyiddin, mesyuarat itu dijadual berlangsung pada 12 Julai lalu namun ditangguhkan ke tarikh yang tidak ditetapkan.
Bekas Pengerusi PN itu juga mendakwa Bersatu tidak dilibatkan dalam sebarang perbincangan mengenai pembahagian kerusi selepas mesyuarat tersebut ditangguhkan.
Dia turut mendakwa PAS mengadakan perbincangan dengan BN tanpa melibatkan parti komponen PN yang lain atau mendapatkan kelulusan MT parti itu.
"Bersatu melahirkan rasa kecewa dengan keputusan- keputusan unilateral PAS yang bertentangan dengan kepentingan PN.
"Kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan PAS untuk memberikan kemenangan kepada BN dalam PRN Johor dan kini PRN Negeri Sembilan tidak pernah dipersetujui oleh MT PN dan jelas bertentangan dengan kepentingan PN sebagai sebuah gabungan politik nasional yang menawarkan alternatif kepada BN dan PH," katanya.
Annuar yang juga dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS menambah keutamaan PAS ialah mendahulukan “penyatuan ummah” berbanding isu tentang jumlah kerusi yang ingin ditandingi.
“Kita ucap selamat maju jaya kepada Bersatu,” katanya.





