Dewan Negeri (ADUN) Kota Kemuning Preakas Sampunathan menarik balik dakwaan berkaitan kes seorang pelajar cemerlang SPM gagal mendapat tempat dalam program matrikulasi.
Preakas membuat pembetulan itu hari ini setelah dimaklumkan bahawa pelajar yang memperoleh keputusan 11A itu sebenarnya mendapat tempat dan telah pun menerima tawaran.
“Sehubungan itu, kenyataan-kenyataan terdahulu yang dikeluarkan berkaitan perkara ini adalah ditarik semula bagi mengelakkan sebarang kekeliruan lanjut kepada orang ramai,” katanya.
Terdahulu, Preakas mengetengahkan dakwaan itu dan berkata ia tidak patut berlaku memandangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa pelajar yang memperoleh keputusan 10A dan ke atas akan ditawarkan tempat.
“Kalau pelajar 11A pun tidak terpilih ke matrikulasi, sudah tentu ramai akan tertanya-tanya di mana silapnya,” katanya.
Preakas turut menggesa kementerian berkaitan menyemak semula kes itu dan memastikan tiada pelajar tercicir akibat kelemahan sistem atau masalah teknikal dalam proses permohonan.
Adun Sentosa Gunaraj George kemudian menafikan dakwaan dibangkitkan.
Katanya, pelajar terbabit telah pun menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi Selangor selain memperoleh biasiswa Petronas.

Dalam kenyataan hari ini, Preakas juga merakamkan penghargaan kepada perdana menteri, kementerian terlibat, serta semua agensi berkaitan atas penjelasan dan usaha berterusan memastikan pelajar yang layak terus diberikan peluang.
“Sebagai wakil rakyat, menjadi tanggungjawab saya untuk menyuarakan kebimbangan rakyat, khususnya berkaitan masa depan pendidikan anak-anak muda.
“Pada masa yang sama, adalah penting untuk memastikan setiap maklumat yang diterima diperbetulkan apabila fakta sebenar telah diperjelaskan,” katanya.
Sebelum ini, bapa remaja itu memuat naik video berkongsi pengalamannya menguruskan keperluan matrikulasi dan biasiswa–yang mungkin disalah anggap sebagai keluhan tidak mendapat tempat.
“Anak perempuan saya mendapat 11A dalam SPM dan menerima biasiswa Petronas, tetapi dimaklumkan ada masalah dengan borang yang dihantar.
“Kami perlu mengisytiharkan slip pendapatan. Saya menjalankan perniagaan manakala isteri saya bekerja. Jadi ada sedikit masalah di situ,” kata bapa itu dalam bahasa Tamil.
Bagaimanapun, jika ditonton sampai habis, dia kemudian menasihatkan orang ramai supaya tidak terburu-buru membuat kesimpulan bahawa sesuatu kaum atau pelajar dinafikan biasiswa tanpa memahami punca sebenar.
“Apa yang saya cuba sampaikan ialah kadang-kadang (permohonan) kita ditolak kerana ada dokumen tertentu yang tertinggal.
“Kita terus marah dan mengadu bahawa anak kita, atau kaum kita, dinafikan biasiswa. Pertama sekali, kita perlu mencari sebab penolakan itu,” katanya.
Anaknya menerima tawaran mengikuti program matrikulasi dalam jurusan perakaunan selama setahun selain beberapa tawaran pendidikan lain.





