Bagi penyanyi Zaki Yamani, menjaga penampilan bukan sekadar mahu nampak bergaya, sebaliknya dia percaya sentiasa kelihatan kemas dan bersedia boleh membuka lebih banyak peluang dalam kerjaya.
Artikel Berkaitan: Baru 20 Tahun Tapi Cara Bercakap Dipuji, Zaki Yamani Pilih Jaga Adab
Artikel Berkaitan: ‘Terkilan, Perkara Itu Mencalarkan Baik Ibu Saya’ – Zaki Yamani
Zaki Yamani titikberatkan penampilan

Zaki, 20, mengakui dia memang cukup menitikberatkan soal penampilan dan seboleh-bolehnya tidak akan keluar rumah dalam keadaan tidak bersedia, walaupun hanya mahu ke kedai serbaneka.
Menurutnya, sikap tersebut sedikit sebanyak dipengaruhi oleh didikan ibunya yang pernah menjaga bapanya, penyanyi legenda Datuk Jamal Abdillah suatu ketika dahulu.
Alhamdulillah, saya ada ibu yang sangat menyokong dan pernah menjaga ayah saya suatu ketika dahulu.
Saya beruntung sebab ibu menjaga ayah dahulu dan apa yang ayah amalkan bukan sekadar menyanyi tetapi gaya hidupnya. Mak saya turunkan kepada saya sedikit demi sedikit sebab saya tidak dapat duduk sekali dengan ayah.
Bagi pemilik nama Ahmad Zaki Yamani, penampilan yang kemas, wangi dan terjaga juga merupakan satu bentuk persediaan kerana dia tidak pernah tahu bila peluang baharu akan datang.
Saya pula suka penampilan yang kemas, saya tidak suka nampak tidak bersedia. Kalau saya keluar rumah, macam nak pergi berjalan padahal nak pergi 7 Eleven sahaja. Saya pakai kasut, tidak pakai selipar.
Saya rasa bila kita jaga diri dalam keadaan kemas, wangi dan sebagainya, rezeki akan masuk. Itu cara saya. Mana tahu tiba-tiba ada orang di luar nak berborak pasal ‘show’ atau apa-apa, dan dia tertarik. Itu kita boleh buat PR.
Bukan penampilan sahaja, kecergasan pun penting

Dalam masa sama, Zaki turut mengambil berat soal kecergasan fizikal sebagai persediaan untuk setiap persembahan.
Katanya, dia kini kerap ke gim dan melakukan kardio supaya tubuhnya sentiasa bersedia sekiranya perlu membawakan lagu-lagu yang memerlukan tenaga serta kawalan vokal yang baik.
Bukan dalam imej sahaja, tetapi dari segi kecergasan juga. Saya kerap ke gim dan lakukan kardio untuk bersedia bagi apa-apa sahaja.
Sekiranya ‘show’ ada lima, enam atau sepuluh lagu yang bernada sangat tinggi, saya sudah pastikan saya dalam keadaan bersedia. Jadi lebih mudah.
‘Akur’ bawa kisah cinta dan pengakhiran

Dalam perkembangan lain, Zaki baru sahaja melancarkan single terbaharunya berjudul Akur yang mengangkat kisah tentang cinta, perubahan hati dan keberanian menerima sebuah pengakhiran yang tidak pernah diminta.
Dicipta oleh Amzar Razqa dan Bunga, dengan lirik hasil tulisan Bunga, Zaki Yamani dan Amzar Razqa, Akur memilih untuk bercerita tentang perpisahan tanpa kemarahan atau dendam.
Sebaliknya, lagu tersebut membawa pendengar menyelami perasaan seseorang yang cuba menerima kenyataan walaupun hatinya masih belum benar-benar bersedia untuk melepaskan.
Bagi Zaki, cabaran terbesar ketika membawakan lagu itu adalah mencari keseimbangan antara menyampaikan kesedihan dan memastikan emosi yang dilontarkan kekal jujur.
Memang mencabar untuk membawa emosi ‘Akur’ kerana saya tak mahu terlalu memaksa rasa sedih itu. Saya cuba sampaikan dengan sejujur mungkin.
Bagi saya, apabila kita benar-benar kecewa, kadang-kadang kita tak perlu pun terlalu menunjukkan kesedihan itu. Ada rasa yang lebih kuat apabila kita pendam dan cuba terima dengan tenang.
Menerusi Akur, Zaki berharap pendengar dapat merasai sendiri perjalanan emosi seseorang yang sedang belajar berdamai dengan sebuah perpisahan dan akhirnya memilih untuk menerima apa yang sudah ditakdirkan.
The post [VIDEO] Zaki Yamani Tak Keluar Rumah Tanpa Bersedia, Jaga Penampilan Demi Rezeki first appeared on OHBULAN!.



#Akur #ZakiYamani 

