Dalam industri hiburan yang bergerak pantas, kemunculan berterusan sering dianggap penting untuk memastikan seseorang artis kekal relevan, mengejar populariti dan terus berada dalam radar penonton.
Namun, bagi sesetengah pelakon, banyak projek bukanlah ukuran utama kejayaan. Sebaliknya, pemilihan naskhah, kepelbagaian karakter dan kepuasan terhadap hasil lakonan lebih penting daripada sekadar memastikan wajah sentiasa muncul di kaca televisyen.
Artikel Berkaitan: POV XTRA: Kejar Pujian Boleh Buat Diri Rasa Sunyi, Farah Nabilah Percaya Validasi Dari Orang Luar Tak Penting
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Farah Nabilah Kembali Berlakon Selepas 7 Tahun – ‘Tak Boleh Babak Bersentuhan Dengan Lelaki & Bukan Watak Penyondol’
Kualiti Lebih Utama Daripada Kuantiti
POV XTRA membawakan pandangan selebriti mengenai pelbagai isu, daripada topik yang hangat diperdebatkan hinggalah persoalan harian yang sering bermain dalam fikiran ramai. Tiada jawapan mutlak, tetapi setiap perspektif membuka ruang untuk sesuatu perkara dilihat dari sudut berbeza.
Menerusi segmen POV XTRA minggu ini, pelakon Farah Nabilah berkongsi pendiriannya mengenai perjalanan sebagai anak seni, khususnya dalam memilih karya dan berdepan tuntutan untuk sentiasa kekal relevan dalam industri hiburan.
Ketika sesetengah selebriti memilih untuk terus aktif dengan pelbagai projek bagi memastikan nama sentiasa berada dalam perhatian, Farah pula mengambil pendekatan berbeza apabila lebih mengutamakan kualiti berbanding kuantiti.
Menurut Farah, sejak awal pembabitannya dalam bidang lakonan, dia cukup teliti memilih naskhah kerana tidak mahu sekadar muncul dalam banyak drama tetapi membawa watak yang hampir sama.
Saya dari dulu memang mementingkan kualiti, bukan kuantiti. Kalau tengok drama saya pun tak banyak sebab saya memang pilih betul-betul jalan cerita.
Saya tak nak bawa karakter yang sama.
View this post on Instagram
Bagi Farah, populariti juga bukan ukuran utama dalam menentukan sejauh mana dirinya berjaya sebagai seorang pelakon.
Sebaliknya, dia lebih mahu namanya diingati menerusi kemampuan lakonan serta watak yang berjaya diberikan nyawa.
Saya tak kejar populariti. Saya nak orang kenal saya atas lakonan saya.
Sampai sekarang tak ada benda yang saya kejar, saya cuma nak puaskan diri saya sebagai seorang pelakon.
Pendekatan Farah itu memperlihatkan dalam industri yang semakin pantas dan menuntut artis sentiasa muncul di hadapan khalayak, tidak semua memilih untuk mengejar jumlah projek atau populariti semata-mata.
Ada yang lebih selesa bergerak mengikut rentak sendiri, memilih karya yang dirasakan mampu memberi kepuasan serta meninggalkan kesan dalam perjalanan seni mereka.
The post POV XTRA: ‘Saya Tak Kejar Populariti’ – Farah Nabilah Pilih Kualiti, Enggan Jadi Pelakon ‘Asal Ada’ first appeared on OHBULAN!.





