Gelagat sekumpulan kanak-kanak yang datang beraya ke sebuah rumah mencuri perhatian ramai apabila mereka mengambil inisiatif membacakan doa buat tuan rumah sebelum pulang.
Artikel Berkaitan: Bukan Sekadar Terima Duit Raya, Ustaz Wadi Annuar Kongsi 9 Adab Yang Perlu Ditekankan Kepada Anak
Doa untuk tuan rumah

Menerusi video yang tular di media sosial, seorang kanak-kanak lelaki dilihat mengetuai bacaan doa, manakala rakan-rakannya yang lain menadah tangan dan mengaminkan setiap bait doa yang dibacakan.
Lebih menyentuh hati, doa yang dititipkan bukan sekadar ringkas, malah sarat dengan harapan baik buat tuan rumah sekeluarga.
Berilah keberkatan kepada tuan rumah ini, semoga tuan rumah sekeluarga diberi kesihatan yang baik dan dilapangkan rezeki serta diampunkan dosanya.
Lanjutkan umurnya dalam iman, kurniakan rezeki yang halal, berkatilah perjalanan hidupnya kini dan akan datang,” antara doa yang dibacakan.
Perkongsian tersebut meraih perhatian wargamaya yang rata-ratanya tersentuh dengan adab dan didikan baik yang ditunjukkan oleh kanak-kanak berkenaan.
Di ruangan komen, ramai memuji sikap mereka yang dianggap jarang dilihat pada masa kini, selain menyifatkan amalan tersebut wajar dijadikan contoh oleh kanak-kanak lain ketika berkunjung ke rumah orang semasa Aidilfitri.
Tidak kurang juga yang memuji ibu bapa mereka kerana berjaya mendidik anak-anak dengan nilai murni, sekali gus menghidupkan kembali adab berkunjung yang penuh sopan di hari lebaran.
Sumber: Threads
The post [VIDEO] Gelagat Kanak-Kanak Berdoa Untuk Tuan Rumah Sebelum Pulang Beraya Raih Pujian first appeared on OHBULAN!.





