Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azmi Sharom menjelaskan tiada kod pakaian rasmi yang melarang pengundi memakai seluar pendek ke pusat mengundi.
Azmi memberitahu Malaysiakini bahawa hanya pakaian yang memaparkan logo parti politik atau imej calon dilarang.
Dia mengulas dakwaan seorang pengundi dihalang memasuki pusat mengundi bagi kerusi DUN Skudai di SMK Taman Tun Aminah kerana memakai seluar pendek.
"Tiada kod pakaian seperti itu. Satu-satunya larangan ialah pakaian yang mempunyai logo parti atau calon," kata Azmi.
Insiden itu mula mendapat perhatian selepas seorang individu memuat naik gambar dalam sebuah kumpulan Facebook yang menunjukkan seorang lelaki memakai kemeja-T kuning dan seluar pendek khaki paras lutut berdiri di luar kawasan sekolah.
Kapsyen dalam bahasa Melayu dan Cina pada hantaran itu berbunyi: "Pakai seluar pendek tidak dibenarkan masuk mengundi di SMK Tun Aminah."
Gambar berkenaan turut memaparkan lelaki itu bercakap dengan seorang pengawal keselamatan sekolah yang didakwa menghalangnya daripada memasuki kawasan pusat mengundi.
Turut kelihatan ialah papan tanda "Etika Pakaian Pelawat" di pintu pagar sekolah yang melarang pelawat lelaki memakai seluar pendek, seluar jeans koyak, baju tanpa lengan dan selipar.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada individu yang memuat naik gambar itu ialah lelaki yang didakwa dihalang daripada mengundi.
Selain diadakan sekolah, proses pengundian turut dijalankan dari jam 8 pagi hingga 6 petang di dewan orang ramai yang tidak mengenakan sebarang kod pakaian.
Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022, Azmi turut mengingatkan orang ramai supaya tidak mempercayai maklumat tular yang mendakwa pengundi memakai seluar pendek dan selipar akan dihalang daripada mengundi.





