DAP Johor mengakui kekalahannya dalam pilihan raya negeri semalam dan mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan majoriti mudah.
Pengerusi DAP Johor Teo Nie Ching pada satu kenyataan pagi ini berkata parti itu menghormati keputusan rakyat dan berterima kasih kepada penyokong yang keluar mengundi.
“Dengan rasa rendah hati, DAP menerima keputusan ini dan menghormati pilihan Bangsa Johor.
“Kami mengucapkan tahniah kepada BN atas kemenangan mereka.
“Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengundi yang keluar mengundi dan DAP amat menghargai segala sokongan yang diberikan.
“Sudah tentu ada kekurangan dan kelemahan yang patut kami perbaiki. Sudah tentu keputusan ini menghantar satu mesej untuk kami buat yang lebih baik.”
Dia berkata kemenangan BN di Johor Jaya dan Perling turut dibantu oleh peralihan undi yang sebelum ini diperoleh Perikatan Nasional dalam pilihan raya negeri 2022, sekali gus membolehkan BN merampas semula kerusi yang pernah dikuasainya.
Sehubungan itu, katanya, meskipun peratusan undi Pakatan Harapan meningkat di kedua-dua kawasan berkenaan, jumlah itu masih tidak mencukupi untuk memastikan kemenangan calon gabungan tersebut.
“Kami akan meneliti faktor-faktor lain yang mengakibatkan kekalahan kami di DUN Jementah, DUN Tangkak dan kerusi DUN yang ditandingi dan mengambil ikhtibar serta memperbaiki kelemahan kami.
“Kami juga akan memastikan segala usaha membina negara dan memperjuangkan hak rakyat diteruskan.”
Keputusan rasmi pilihan raya negeri semalam menunjukkan BN mengekalkan penguasaan di Johor selepas memenangi 48 kerusi, lapan kerusi lebih banyak berbanding yang dimenanginya dalam pilihan raya negeri pada Mac 2022.
Pakatan Harapan, yang kini menjadi satu-satunya pembangkang di Johor, memenangi lapan kerusi, berkurangan dari 12 kerusi yang dikuasainya dalam Dewan Undangan Negeri sebelum ini.
Satu lagi gabungan utama, Perikatan Nasional, pula kehilangan kesemua tiga kerusi yang pernah dikuasainya.





