
Penyanyi nasyid kumpulan ‘Saujana’, Datuk Dr. Dr Idzu Baharin atau nama lengkapnya Khairul Idzwan Baharin berkongsi tentang sejarah awal penubuhan kumpulan nasyid tersebut menerusi satu sesi siaran langsung di TikTok.
Ahli terakhir lengkapkan kumpulan
Menerusi perkongsian yang dibuat, Idzu yang lebih mesra disapa Tokzu memaklumkan kumpulan tersebut ditubuhkan pada tahun 1997.
Tambah Idzu, dia merupakan ahli terakhir yang melengkapkan kumpulan itu selepas terpilih melalui satu sesi uji bakat dibuat syarikat rakaman di sekolahnya.
Kumpulan Saujana ditubuhkan pada tahun 1997 dan saya pada waktu itu baru berusia 15 tahun.
Saya merupakan ahli terakhir yang dipilih untuk melengkapkan kumpulan Saujana.
Empat ahli sudah terpilih awal tetapi syarikat rakaman masih memerlukan satu suara untuk kumpulan.
Jadi mereka datang ke sekolah saya untuk adakan uji bakat dan saya dapat.
Walau bagaimanapun, penglibatan Idzu dalam dunia nyanyian pada awalnya ditegah kedua ibu bapanya.
Tetapi ada satu masalah apabila ibu bapa saya tak beri pelepasan kepada saya untuk sertai Saujana.
Sehinggalah beberapa bulan selepas itu, baru ayah saya bagi kebenaran.
Ayah saya ini pula seorang pegawai tinggi di Kementerian Pendidikan, itu yang susah sikit.
‘The moment’ dapat kebenaran itu barulah kami lima ahli ini ke syarikat rakaman dan rakamkan lagu pertama kami yang berjudul ‘Nur Malam’.
Komen netizen



Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mula mengimbau kembali zaman nostalgia kumpulan Saujana yang sebaris dengan kumpulan nasyid hebat lain seperti Raihan, Hijjaz dan Rabbani pada ketika itu.
Mereka juga meluahkan rasa rindu untuk mendengar kelunakan suara Idzu ketika menyanyikan lagu ‘Sepohon Kayu’.





