Penyanyi Ara Johari, mengimbas kembali detik cemas yang dilaluinya selepas terperangkap di dalam lif sebuah hotel baru-baru ini.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Ara Johari ‘Tarik’ Sambil Duduk, Netizen Terpukau Dengar Nota Tinggi – ‘Memang Power Suara Dia’
Terperangkap dalam lif

Ketika ditemui , Ara atau nama lengkapnya Nurfarrah Izzatie Johari, 29, berkongsi mengenai insiden tersebut yang berlaku sebelum dia menjayakan sebuah persembahan di Sarawak.
Sebenarnya, kejadian itu agak melucukan. Ketika itu saya berada sebuah hotel di Sarawak.
Kejadian berlaku kira-kira tiga hari lalu ketika saya menghadiri sebuah acara.
Lokasi acara tersebut bersambung dengan sebuah hotel dan saya ditempatkan di hotel berkenaan.
Ketika itu, saya sudah siap bersolek dan bersiap untuk membuat persembahan pada pukul 4 petang.
Sekitar pukul 3.30 petang, saya menaiki lif untuk ke bilik, tetapi tiba-tiba lif tersebut tersangkut.
Dalam lif itu ada beberapa orang lain termasuk pemain yang mengalami kecederaan dan seorang petugas perubatan.
Menurut Ara, ketika kejadian itu mereka tidak dapat meminta mana-mana bantuan susulan masalah liputan telefon.
Apabila lif tersangkut, saya hanya duduk dan bertenang kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
Pengurus saya pula cuba membuka sedikit pintu lif kerana langsung tiada liputan telefon di dalamnya.
Kami sudah menekan loceng kecemasan, tetapi tiada siapa mendengar kerana lif tersangkut di kawasan parkir yang tidak ramai orang lalu.
Kedudukan lif ketika itu berada di antara tingkat tiga dan empat.
Selepas pengurus saya berjaya membuka sedikit pintu, barulah kami mendapat sedikit liputan telefon.
Bercerita lanjut, Ara berkata, mereka kemudian berjaya diselamatkan dari lif tersebut setelah berhasil mendapatkan bantuan.
Kami kemudian menghubungi pasukan saya dan penganjur acara untuk memaklumkan keadaan serta mengubah jadual persembahan.
Pada masa sama, mereka cuba mendapatkan bantuan juruteknik.
Saya terperangkap hampir 40 minit dalam lif tersebut. Apabila pintu akhirnya berjaya dibuka, kami terpaksa memanjat untuk keluar.
Ara berkata demikian ketika ditemui pada sidang media pelancaran lagu terbaharunya berjudul Kisah Yang Hampir Sempurna yang berlangsung di Universal Music Malaysia, Petaling Jaya pada Selasa.
Walau bagaimanapun, pelantun lagu Bunga ini berkata, dia tidak terlalu panik semasa insiden tersebut berlaku dan tidak mengalami ketakutan untuk menaiki lif selepas kejadian itu.
Saya sebenarnya tidak terlalu panik. Saya cuma tertanya-tanya apa yang perlu dilakukan dalam situasi itu.
Nasib baik pengurus saya ada bersama. Kalau saya terperangkap seorang diri, mungkin saya langsung tidak tahu apa yang perlu dibuat.
Rasanya saya hanya akan duduk dan reda menunggu sehingga pintu lif dibuka.
Saya tidak kisah berada dalam keadaan gelap, cuma saya kurang selesa kalau tempat terlalu sempit.
Nasib baik ketika kejadian, tidak terlalu ramai orang berada dalam lif.
Kalau tidak silap, sekitar lima atau enam orang sahaja, jadi keadaan tidaklah terlalu sesak.
Saya okey sahaja. Saya tidak mengalami trauma atau fobia untuk menaiki lif selepas kejadian itu.
The post [VIDEO] Ara Johari Kongsi Detik Cemas Terperangkap Dalam Lif – ‘Kami Terpaksa Panjat Keluar’ first appeared on OHBULAN!.





