Belanjawan 2027 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperluas infrastruktur digital, meningkatkan kesalinghubungan dan mempercepat transformasi digital negara demi manfaat rakyat serta pertumbuhan ekonomi.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik peruntukan dan inisiatif yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027, yang merangkumi peluasan akses internet, pemerkasaan kesihatan digital, pembangunan kecerdasan buatan (AI) serta peningkatan keselamatan siber negara.

Antara inisiatif utama ialah peruntukan RM5 bilion bagi Jalinan Digital Negara (JENDELA) untuk memperluas liputan internet berkualiti tinggi di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk perkampungan Orang Asli.
“Peruntukan itu turut menyokong usaha meningkatkan kesalinghubungan sepanjang 7,000 kilometer jalan raya dan lebuh raya serta 1,700 kilometer laluan rel di seluruh negara.
“Selain itu, sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi memperkasa ekosistem kesihatan digital negara menerusi inisiatif Pemacu Ekosistem dan Ketersambungan Kesihatan Digital Negara (PERSADA).
Inisiatif itu bertujuan memperkukuh infrastruktur serta kesalinghubungan digital sektor kesihatan, selain menyokong peluasan Sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR), perkhidmatan telekesihatan dan penggunaan dron untuk penghantaran ubat, khususnya bagi meningkatkan akses kepada perkhidmatan kesihatan di kawasan luar bandar dan pedalaman,” kata MCMC dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, usaha memperluas manfaat pendigitalan kepada komuniti, kerajaan turut memperuntukkan RM142 juta bagi memperkasa Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sebagai hab komuniti digital.
Menurut kenyataan itu, menerusi peruntukan itu, NADI akan terus menyokong pelaksanaan latihan kemahiran digital dan AI, di samping merancakkan pembangunan ekonomi serta keusahawanan setempat.
Pada masa sama, pembangunan Sistem Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) akan meningkatkan kapasiti dan daya tahan rangkaian komunikasi antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Usaha berkenaan dijangka menyokong pertumbuhan ekonomi digital yang lebih inklusif dan mampan melalui peningkatan keupayaan rangkaian antara wilayah.
“Belanjawan 2027 turut memberi perhatian kepada akses internet dalam sektor pendidikan menerusi penyediaan kemudahan Wi-Fi di semua institusi pengajian tinggi (IPT) awam.
“Kemudahan itu bertujuan memastikan pelajar menikmati akses internet yang lebih menyeluruh bagi menyokong pembelajaran digital serta pembangunan bakat masa hadapan.
“Dalam aspek teknologi strategik, pembangunan Sovereign AI Cloud dan usaha mempertingkat keselamatan siber negara akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kedaulatan data, pembangunan AI yang selamat serta peningkatan daya tahan ekosistem digital negara,” kata kenyataan itu.
MCMC juga akan meneruskan Kempen Internet Selamat di sekolah seluruh negara bagi meningkatkan kesedaran mengenai penggunaan internet secara bertanggungjawab, selain mempergiat usaha membanteras penipuan digital.
Menurut suruhanjaya itu, usaha membanteras penipuan berkenaan, termasuk tindakan menyekat lebih 5.7 bilion panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) berunsur penipuan.
“Sebagai pengawal selia sektor komunikasi dan multimedia, MCMC komited memastikan setiap inisiatif yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan berkesan dan diterjemahkan kepada manfaat nyata kepada rakyat, industri serta negara.
“MCMC yakin pelaburan strategik berkenaan akan terus menyokong pembangunan ekonomi digital dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara digital berdaya saing,” katanya.
Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Oktober adalah belanjawan kelima di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI dan kedua dalam kerangka Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Rapat jurang kemajuan
Sementara itu, pakar ekonomi yang juga Pengarah Program MBA Putra Business School, Prof Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berkata inisiatif itu juga disifatkan sebagai satu langkah positif, khususnya dalam merapatkan jurang pembangunan antara bandar dengan luar bandar.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan juga mencerminkan fokus kerajaan dalam memperkukuh ekonomi digital sebagai pemacu pertumbuhan negara.
“Namun, kejayaan Belanjawan 2027 itu perlu dinilai berdasarkan impak sebenar terhadap produktiviti, pendapatan rakyat dan penciptaan pekerjaan berkualiti, bukan sekadar jumlah peruntukan yang diumumkan,” katanya kepada BH.
Ahmed Razman berpandangan, pelaburan RM5 bilion menerusi inisiatif JENDELA berpotensi mempercepat pertumbuhan ekonomi digital dengan menyediakan akses internet lebih meluas dan berkualiti, khususnya di kawasan luar bandar serta pedalaman.
“Ketersambungan yang baik membolehkan perusahaan kecil dan sederhana memasarkan produk secara dalam talian, mengakses pasaran lebih luas serta meningkatkan kecekapan operasi.
“Namun, manfaat ekonomi dapat dimaksimum jika infrastruktur ini disertai liputan yang stabil, harga internet berpatutan dan kemahiran digital dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Belia berkata, pulangan ekonomi bagi inisiatif berkenaan juga dijangka dapat dilihat melalui peningkatan produktiviti perniagaan, penciptaan pekerjaan dalam sektor digital dan peluang menjana pendapatan tambahan bagi isi rumah.
“Akses internet juga membolehkan penduduk luar bandar menyertai ekonomi gig, e-dagang dan pekerjaan jarak jauh.
“Dalam jangka panjang, pelaburan ini boleh menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih inklusif, dengan syarat kerajaan menetapkan petunjuk prestasi yang jelas untuk mengukur peningkatan penggunaan internet, pendapatan dan aktiviti ekonomi di kawasan sasaran,” katanya.
Menurut Ahmed Razman, inisiatif peruntukan RM142 juta untuk NADI itu berpotensi melahirkan lebih ramai usahawan digital, khususnya belia dan komuniti luar bandar, melalui latihan keusahawanan, pemasaran digital serta penggunaan platform e-dagang.
Bagaimanapun, beliau menegaskan, program berkenaan tidak seharusnya terhad kepada penyediaan latihan asas semata-mata, sebaliknya perlu diikuti dengan bimbingan berterusan sehingga peserta mampu membina perniagaan mampan, meningkatkan jualan dan menembusi pasaran lebih luas.
“Kejayaan NADI wajar diukur berdasarkan bilangan perniagaan yang berkembang, peningkatan pendapatan usahawan dan peluang pekerjaan yang diwujudkan, bukan sekadar jumlah peserta latihan,” katanya.
Buka lebih banyak peluang
Dalam pada itu, Mohd Dzulhelmi Mohd Dzulkifli, 41, yang bekerja sendiri berkata, peruntukan kerajaan dalam aspek infrastruktur digital dan kemudahan internet dijangka dapat membuka lebih banyak peluang kepada rakyat.

Menurutnya, kerajaan diharap memastikan pelaksanaan inisiatif berkenaan dapat dipantau dengan baik supaya manfaatnya benar-benar dirasai oleh masyarakat termasuk di kawasan pedalaman dan kampung Orang Asli.
“Kerajaan juga perlu memastikan kualiti rangkaian, kemampuan kos internet serta latihan literasi digital diberi perhatian agar tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan digital negara,” katanya.
Pekerja swasta, Muhammad Azlan Mohd Ariff@Aris, 36, berkata usaha kerajaan dalam memperkukuh inisiatif berkenaan turut menunjukkan bahawa pembangunan digital bukan sekadar membina infrastruktur, tetapi juga memastikan rakyat tahu menggunakan kemudahan yang disediakan untuk meningkatkan taraf hidup.

“Bagi saya, kedua-dua inisiatif ini saling melengkapi. JENDELA menyediakan kemudahan internet, manakala NADI pula bantu rakyat memanfaatkan teknologi untuk tujuan yang lebih produktif seperti perniagaan dan asas kemahiran.
“Saya menyambut baik pendekatan ini kerana manfaatnya boleh dirasai oleh masyarakat di bandar dan luar bandar.
“Kejayaan inisiatif ini perlu dinilai berdasarkan hasilnya seperti peningkatan kemahiran, pertambahan jualan peniaga kecil dan berapa ramai rakyat berjaya menjana pendapatan melalui platform digital,” katanya.
The post Ekonomi Digital, Manfaat Peruntukan Perlu Dirasai Rakyat first appeared on OHBULAN!.





