Penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam mengakui sudah memaafkan pelakon, Tisha Shamsir susulan kontroversi berkaitan kes dadah yang sedang dihadapinya.
Artikel Berkaitan: ‘Saya Manusia Biasa, Tak Terlepas Daripada Buat Salah’ – Tisha Shamsir Mohon Maaf Kepada Yusof Haslam
Artikel Berkaitan: Yusof Haslam Kembali Dengan Gerak Khas 2.0, Nafi Guna ‘Kabel’ – ‘Semangat Juang Saya Sebab Minat Dengan Dunia Kepolisian’
Tiada dendam

Menurut Yusof, permohonan maaf secara terbuka yang dibuat Tisha sebelum ini sudah memadai dan berharap orang ramai tidak terus memperbesarkan isu berkenaan.
Pemilik Skop Productions itu juga menjelaskan setiap individu berhak diberi peluang kedua untuk memperbaiki diri dan menjadikan kesilapan lalu sebagai pengajaran.
Tiada dendam. Saya sudah lama memaafkan dia. Saya cuma berharap dia dapat belajar daripada kesilapan seterusnya kembali menjalani kehidupan yang lebih baik.
Bagi saya, benda sudah lepas. Dia pun sudah meminta maaf, jadi kita jangan panjangkan lagi jadikan isu. Fasal kes di mahkamah, yang itu biar ditentukan undang-undang.
Takkan kita tidak boleh maafkan sesama insan. Setiap orang pastinya mempunyai khilaf masing-masing.
Dalam pada itu, Yusof turut menasihati Tisha agar mengambil iktibar daripada kejadian tersebut dan menjadikannya titik permulaan untuk berubah ke arah kehidupan yang lebih baik, selain mempertimbangkan perasaan keluarganya.
Semoga apa yang berlaku menjadi pengajaran, bukan hanya kepada dirinya, malah kepada orang lain agar jangan silap langkah.
Jika seseorang itu mahu berubah ke arah kebaikan, kita pun kena doakan yang baik-baik. Jalan di depan sana masih panjang.
Mengulas mengenai peluang Tisha kembali membintangi drama bersiri Gerak Khas 2.0, Yusof menjelaskan perkara itu bergantung kepada pertimbangan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Jelasnya, drama berkonsepkan kepolisan perlu menjaga etika dan imej yang baik, lebih-lebih lagi ketika kes yang membabitkan pelakon berkenaan masih dalam proses perundangan.
Drama kepolisan ini terikat dengan etika, bawa imej yang bersih. Kes mahkamah dihadapinya pula melibatkan dakwaan berkaitan dadah.
Bagi saya kita membawa imej yang baik, jadi kembali buat masa ini mungkin tidak. Kalau ada pertimbangan daripada pihak PDRM, itu cerita lain.
Saya pun tak boleh nak cakap apa. Kita tengoklah macam mana nanti. Cuma harapnya dia turut minta maaf kepada PDRM.
Terdahulu, Tisha atau nama sebenarnya Shanorbiah Shamsir Alam, 40, ditahan dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan di ibu negara pada 7 Julai lalu sebelum didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 10 Julai.
Dia berdepan pertuduhan memberikan tiga jenis dadah kepada diri sendiri, iaitu methamphetamine, amphetamine dan ketamin. Bagaimanapun, Tisha mengaku tidak bersalah dan dibenarkan diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin.
Pada prosiding kedua di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 8 Oktober lalu, Tisha turut menyampaikan permohonan maaf secara terbuka kepada Yusof selepas menyedari kontroversi tersebut telah menjejaskan nama baik penerbit berkenaan, selain memberi kesan kepada keluarga dan individu di sekelilingnya.
Susulan kontroversi itu, pihak produksi sebelum ini mengambil keputusan menggugurkan Tisha daripada drama bersiri Gerak Khas 2.0, meskipun penggambaran ketika itu hanya berbaki dua episod untuk diselesaikan.
Sumber: Kosmo Online
The post Yusof Haslam Maafkan Tisha Shamsir, Harap Ambil Iktibar – ‘Tiada Dendam, Setiap Orang Ada Khilaf’ first appeared on OHBULAN!.





