Siapa sangka, kulit telur yang selalunya dibuang sebenarnya mempunyai pelbagai manfaat yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian.
Fungsi kulit telur untuk rumah

Kaya dengan kalsium dan mineral semula jadi, kulit telur boleh dimanfaatkan untuk tanaman, kebersihan rumah, kecantikan dan juga kesihatan.
Untuk kegunaan di rumah, kulit telur boleh membantu meneutralkan bau peti sejuk apabila diletakkan dalam bekas terbuka.
Selain itu, kulit telur hancur juga boleh ditaburkan di laluan semut kerana teksturnya yang menghalang pergerakan mereka.
Jika kulit telur diletakkan di dalam sinki, ia boleh menyerap bau-bau tidak menyenangkan dari longkang. Apabila dihancurkan, ia boleh dijadikan agen skrub semula jadi untuk membersihkan periuk dan kuali yang sukar disental.
Dalam sistem penapisan air tradisional, kulit telur digunakan untuk menambah mineral dan meningkatkan kualiti air.
Menambah sedikit kulit telur ketika membancuh kopi dapat mengurangkan rasa pahit. Malah, kulit telur yang dimasukkan dalam kain mesh bersama cucian juga dikatakan mampu membantu memutihkan pakaian.
Bantu dalam bidang pertanian

Bagi bidang pertanian pula, kulit telur sebenarnya adalah baja semula jadi yang sangat baik kerana ia kaya dengan kalsium karbonat. Apabila dihancurkan dan ditabur pada pokok, ia membantu menyuburkan tanah dan menguatkan struktur tanaman.
Selain itu, ia turut berfungsi mengurangkan keasidan tanah. Tanah yang terlalu berasid boleh menjejaskan pertumbuhan pokok dan kulit telur membantu menstabilkan pH supaya tanaman lebih sihat.
Serpihan kulit telur yang tajam juga mampu menjadi pelindung semula jadi kepada tanaman daripada serangan siput dan lintah.
Bukan itu sahaja, kulit telur turut menjadi sumber kalsium tambahan untuk haiwan seperti ayam dan burung. Ia hanya perlu dihancurkan halus dan dicampurkan ke dalam makanan. Ianya dapat membantu menguatkan tulang serta meningkatkan kualiti telur yang dihasilkan.
Kulit telur merupakan bahan yang sangat berguna untuk kompos kerana ianya menambah mineral dalam timbunan kompos dan mempercepat proses pereputan bahan organik.
Pecahan kulit telur juga sering digunakan sebagai bekas semaian kecil untuk memegang benih, tetapi mudah reput apabila ditanam ke dalam tanah. Serpihan kulit telur turut berkesan menghalau beberapa jenis serangga kerana permukaannya yang tajam.
Kulit telur untuk kecantikan

Untuk kegunaan kecantikan pula, serbuk kulit telur yang dicampurkan dengan putih telur boleh dijadikan masker bagi menghaluskan kulit wajah.
Air rebusan kulit telur juga dipercayai membantu mengecilkan liang pori dan memberikan kesan segar pada kulit. Selain itu, kandungan mineralnya dikatakan mampu membantu mempercepat penyembuhan luka kecil jika digunakan sebagai serbuk halus.
Ada juga individu yang memproses kulit telur menjadi serbuk kalsium untuk manusia. Namun prosesnya perlu dilakukan dengan teliti dan kulit telur mesti dibasuh bersih, direbus untuk membunuh bakteria dan dikeringkan sebelum dikisar halus.
Dalam bidang seni dan kraftangan pula, kulit telur yang diwarnakan boleh dijadikan mozek, hiasan dan pelbagai projek kreatif.
Secara keseluruhan, kulit telur mempunyai begitu banyak kegunaan yang sering tidak disedari.
Sumber: Facebook Pertanian Satu Perniagaan
The post Tips Jimat & DIY: Kegunaan Kulit Telur Yang Wajib Korang Cuba, Boleh Dijadikan ‘Masker’ Muka Tau! first appeared on OHBULAN!.





