Kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menurunkan kadar cukai jalan bagi kenderaan yang menggunakan diesel dalam tempoh terdekat sebagai langkah mengurangkan beban rakyat susulan kenaikan harga bahan api tersebut.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau telah meminta Kementerian Pengangkutan untuk mencari mekanisme bersesuaian bagi melaksanakan pengurangan itu dengan mengambil kira kesan kenaikan harga diesel terhadap pengguna, khususnya dalam sektor yang masih bergantung kepada kenderaan diesel.
“Turunkan harga minyak (diesel) sekarang ini tidak mampu tetapi cukai jalan itu boleh (dikurangkan) dan terdapat sebanyak 1.8 juta kenderaan diesel di Malaysia.
“(Jumlah) masih kecil ketimbang keseluruhannya tetapi bagi 1.8 juta kenderaan ini ada masalah kerana harga diesel naik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ke-80 dan Karnival Mega JPJ Madani di Pekarangan Stadium Negeri, di Batu Kawan, Pulau Pinang, hari ini.





