Pelakon dan pengarah terkenal, Erma Fatima mengakui pintu hatinya sudah lama tertutup untuk mana-mana lelaki selepas perpisahannya dengan bekas suami, Bade Haji Azmi.
Artikel Berkaitan: Umie Aida Cari Jodoh Buat Erma Fatima, Risau Kesihatan Kakak – ‘Ada Yang Bujang Atau Duda Available?’
Belum jumpa pengganti

Erma atau nama lengkapnya Fatimah Rahmad Ali berpendapat, tiada lelaki yang mampu menggantikan keperibadian Bade yang begitu memahami kerjayanya sebagai seorang anak seni.
Jodoh itu tidak ada dalam senarai hidup saya dan tidak ada orang boleh gantikan Bade.
Tak akan mungkin ada sebab apa yang saya kecapi sekarang adalah kerana (dahulunya) saya dapat suami yang sangat memahami saya, yang banyak berkorban masa untuk saya.
Jadi, saya tak rasa ada lelaki yang boleh faham saya seperti dia fahamkan saya.
Dan tak mungkin ada orang dapat gantikan tempat Bade, buat masa ini.
Erma berkongsi perkara tersebut ketika sesi pusingan akhir pencarian pelakon Drama Sangat TV3 bertempat di Balai Berita, Media Prima pada Rabu.
Tak ada masa bercinta
Tambah Erma, meskipun ada beberapa kenalan yang berkawan dengannya, namun pelakon filem ‘Janji Diana’ menganggap hubungan itu tidak lebih dari sekadar kawan.
Ujarnya, kesibukan kerja juga membuatkan dirinya tidak ada masa untuk bercinta.
Dan tak pernah ada dalam fikiran saya untuk mencari (pengganti) kerana mungkin sebab kehidupan saya ini adalah kerja, kerja, dan kerja.
Jadi, saya tak ada masa untuk cari lelaki dan saya rasa tak ada lelaki yang berani nak datang dekat pada saya sebab mungkin mereka kata saya garang.
Pintu hati saya ini dah tertutup dah dan belum terbuka buat masa sekarang.
Adalah juga beberapa lelaki yang berkawan tetapi mungkin sekadar berkawan sahaja bukan untik dijadikan suami.
Sementara itu, Erma sempat menjawab mengenai hantaran video dimuat naik adiknya, Datin Seri Umie Aida yang mahu mencarikannya calon suami.
Dalam nada bergurau, Erma ‘membahan’ adiknya itu yang sering mengusik soal jodoh kepadanya sepanjang mereka berada di New Zealand.
Dia (Umie) itu gatal, macam tak ada kerja lain.
Macamlah saya ini tak boleh nak jaga kesihatan saya sendiri.
Sepanjang di New Zealand dia asyik nak cerita pasal jodoh saja.
Untuk rekod, Erma dan Bade atau nama lengkapnya Badaruddin Haji Azmi mendirikan rumah tangga pada 1991 sebelum bercerai pada 2015.
The post ‘Tak Ada Lelaki Boleh Ganti Tempat Bade’ – Erma Fatima first appeared on OHBULAN!.





