Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Perikatan Nasional (PN) menjadi tumpuan susulan kehadiran Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, di tengah-tengah kemuncak krisis dalam gabungan itu.
Ahli Parlimen Pagoh itu tiba di Pejabat Agung PAS, Kuala Lumpur, kira-kira jam 8.30 malam ini, diiringi Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu; Ketua Wanita Bersatu, Nolee Ashilin Mohammed Radzi; serta Ketua Pemuda Bersatu, Muhammad Hilman Idhman.
Turut kelihatan hadir ialah Pengerusi PN merangkap Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar; Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Muhammad Sanusi Md Nor; Presiden Gerakan, Dominic Lau; serta Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Annuar Musa.
Mesyuarat berkenaan dijangka membincangkan isu keanggotaan parti dalam gabungan PN serta penggunaan logo PN menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang akan datang.
Terdahulu, Malaysiakini melaporkan bahawa Bersatu memberi bayangan parti itu bersiap sedia sekiranya disingkirkan daripada PN dalam mesyuarat gabungan yang dijadualkan berlangsung di Ibu Pejabat PAS, Kuala Lumpur, malam ini.

Muhyiddin turut menegaskan bahawa komitmen parti itu terhadap PN tidak perlu dipersoalkan.
"Orang tanya saya, are you still with PN? Of course, sampai bila-bila kita akan kekal dengan PN.
"Konon ada bunyi-bunyi dia nak singkirkan kita, nak buangkan kita daripada rumah yang kita bina. Wajar ke tidak?" soal Muhyiddin ketika berucap melancarkan jentera Bersatu Johor, malam tadi.
Pada 8 Jun lalu, PAS secara rasmi menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Dalam perkembangan berkaitan, Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang dipimpin bekas Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin, dibentuk secara rasmi dan dijangka akan menyertai PN.
Sementara itu, di pekarangan Pejabat PAS, lebih 100 penyokong parti itu dilihat hadir bagi menunjukkan sokongan terhadap keputusan PN malam ini.





