Jawatankuasa Pilihan Khas Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian Parlimen hari ini mencadangkan agar perananan Yayasan MyKasih dalam Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) diambil alih oleh agensi kerajaan pada masa hadapan.
Pengerusinya, Cha Kee Chin berkata, Kementerian Kewangan (MOF) perlu memperkukuh aspek tadbir urus pelaksanaan program itu, termasuk memperjelaskan asas pelantikan agensi pelaksana serta menilai kewajaran kadar caj transaksi.
Dia berkata demikian dalam ucapan penyata jawatankuasa berkenaan mekanisme penyertaan rakan niaga dan agensi pelaksana Program SARA
"MyKasih ialah sebuah yayasan dan penyedia sistem kebajikan yang mengendalikan program bantuan kerajaan tanpa tunai (cashless).
"Peranannya dalam inisiatif Sara adalah sebagai pemudah cara, di mana sistem MyKasih menguruskan penyaluran kredit bantuan dan membolehkan penerima menebus barangan keperluan asas menggunakan MyKad mereka.
"MoF perlu memastikan usaha dibuat agar perananan Yayasan MyKasih diambil alih oleh agensi kerajaan dalam masa akan datang," kata Cha, yang juga Ahli Parlimen Rasah, di Dewan Rakyat hari ini.
Jawatankuasa itu turut mencadangkan supaya MOF dan Yayasan MyKasih menyediakan sokongan yang bersesuaian kepada peruncit kecil dan koperasi yang menyertai Program SARA, termasuk bantuan kewangan, pembiayaan modal pusingan, bantuan bagi perolehan sistem terminal pembayaran serta latihan sistem digital.

"Selain itu MOF dan Yayasan MyKasih perlu memastikan bekalan barangan keperluan asas mencukupi di kedai Rakan Niaga SARA dan menyemak semula senarai barangan yang dibenarkan dan juga perlu menambah baik usaha penerangan dan kesedaran kepada penerima bantuan dan peniaga mengenai pelaksanaan Program SARA," tambah Cha.
Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang turut membangkitkan perkara yang sama.
Ketika sesi perbahasan, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, berkata kerajaan perlu mempertimbangkan semula perananan MyKasih dalam Program SARA.
"My Kasih kenakan bayaran satu peratus ke atas syarikat mengambil bahagian. Katakanlah hasil jualan sebulan RM100,000, maka mereka perlu membayar satu peratus kepada MyKasih.
"Katakan untuk setahun, jualan adalah RM10bilion. Maka, MyKasih ini akan mendapat RM80juta.
"Saya rasa kerajaan perlu menimbang semula perananan MyKasih," katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Arau, Shahidan Kassim, berkata bayaran satu peratus kepada MyKasih adalah terlalu tinggi.
"Saya nak cadangkan supaya kerajaan tak bergantung kepada satu agensi sahaja. Memberi perhatian kepada pelbagai agensi dalam menguruskan Sara.
"MyKasih ini bukan agensi kerajaan, ini adalah NGO swasta," katanya.
Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin, turut menyatakan pendirian yang sama bahawa perananan MyKasih perlu diambil alih secara berperingkat oleh agensi kerajaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Karim, berkata kerajaan perlu bersikap adil kepada rakyat di kawasan Parlimen pembangkang.
"Bayangkan, rayuan pejabat parlimen Pasir Gudang jualan rahmah tak dilayan. Pasir Gudang ini kawasan parlimen kerajaan.
"Bagaimana kawasan parlimen pembangkang. Kalau nak tolong mesti bersungguh-sungguh.Bukan pilih kasih," katanya.





