Sepupu kepada pelakon, Zoey Rahman merupakan antara mangsa yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi Isnin.
Salam takziah

Memetik laporan Kosmo!, mangsa iaitu Allahyarham Fakhrul Arif Rosli, difahamkan dalam perjalanan pulang ke UPSI, Tanjung Malim selepas bercuti menyambut Aidiladha di kampung halaman di Pasir Akar, Jerteh, Terengganu.
Menurut Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Azhar Abdul Rahman, 40, dia menerima berita pemergian itu melalui aplikasi WhatsApp keluarga pada awal pagi.
Saya menerima khabar tersebut subuh tadi dalam group WhatsApp keluarga.
Mula-mula kami tidak tahu arwah selamat atau tidak, cuma tahu 15 orang saja yang meninggal. tapi selepas beberapa minit baru dapat berita mengesahkan dia meninggal di tempat kejadian.
Zoey yang tidak pulang beraya pada Aidiladha kali ini turut berkongsi bahawa pertemuan terakhir bersama arwah adalah ketika sambutan Aidilfitri lalu.
Saya tak balik kampung Aidiladha ini, kali terakhir pun jumpa pada Aidilfitri lalu.
Saya boleh sifatkan dia seorang yang baik , pendiam dan bijak orangnya.
Mak arwah ada cakap dia nak pergi ke luar negara untuk sambung belajar tetapi rupa-rupanya ke negeri abadi.
Dalam masa sama, Zoey turut merakamkan ucapan takziah dan doa buat seluruh keluarga mangsa terlibat.
Saya harap keluarga arwah dan mangsa yang lain tabah dengan ujian ini.
Kemalangan memang tiada dapat dielakkan tapi saya harap ada tindakan selepas kejadian ini.
Setiap kali musim perayaan ada saja perkara seperti ini berlaku melibatkan kenderaan berat,
Pada pagi Isnin, seramai 15 orang disahkan maut dalam kemalangan tragis membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza.
Sumber: Kosmo
The post Sepupu Zoey Rahman Antara Mangsa Nahas Bas UPSI first appeared on OHBULAN!.





