Tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya – itu prinsip yang dipegang Pemuda PAS Malaysia semasa memberikan komitmen menyertai Himpunan Tangkap Azam Baki esok.
Dalam kenyataan dikeluarkan sayap PAS itu hari ini, mereka berkata, seluruh anggota pemuda parti digesa untuk bersama-sama turun dan menyatakan sikap terhadap isu keadilan serta ketelusan dalam isu yang melibatkan “individu penting dalam negara.”
“PAS percaya kepada konsep keadilan, innocent until proven guilty.
“Maka himpunan ini (esok) memberi gambaran agar laungan reformasi dan antirasuah yang dizikirkan oleh kerajaan Madani dapat dibuktikan dengan ketelusan dalam siasatan individu terbabit.
“Maka, itulah asas paling kukuh untuk bersama dalam himpunan ini!” kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Nadzir Helmi.
Azam merupakan pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sekali lagi terpalit dengan isu salah guna kuasa terkait pengundian saham dua syarikat senaraian awam, selain dakwaan kewujudan “mafia korporat.”

Tuduhan ke atas Ketua Pesuruhjaya SPRM itu dibuat oleh agensi berita antarabangsa, Bloomberg, namun agensi antirasuah berkenaan menegaskan laporan tersebut sebagai “mengelirukan” serta mengandungi “tuduhan tidak berasas.”
SPRM juga memberitahu pengundian saham tersebut sudah diisytiharkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam seperti yang ditetapkan oleh peraturan kerajaan.
“Ketua Pesuruhjaya SPRM telah mematuhi sepenuhnya keperluan pengisytiharan harta yang berkuat kuasa, termasuk pengisytiharan yang dibuat melalui Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung sumber pendapatan serta pemerolehan dan pelupusan aset, termasuk saham.
“Sebarang gambaran yang mencadangkan kegagalan mengisytiharkan aset adalah tidak benar dari segi fakta dan mewujudkan tanggapan mengelirukan terhadap kerangka integriti dan tadbir urus yang mengawal SPRM dan perkhidmatan awam, sekali gus memberi gambaran tidak adil dan memudaratkan terhadap suruhanjaya sebagai sebuah agensi penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
Tak mahu disambung lagi
Pun begitu desakan agar Azam dikenakan tindakan terus meningkat dan pelbagai pihak – termasuk dalam kalangan penyokong kerajaan – mendesak agar dia ditahan untuk disiasat.
Bagaimanapun setakat ini Azam belum ditahan mahupun disiasat.
Himpunan Tangkap Azam Baki dijadual berlangsung di tengah Kuala Lumpur esok.
Menurut Bersih – yang menjadi antara penggerak himpunan tersebut – berkata mereka tetap turun ke jalan raya walaupun Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sudah bertitah untuk memilih sendiri individu yang akan mengetuai SPRM.
Pengerusi Bersih Faisal Aziz berkata himpunan tersebut yang akan turut disertai pertubuhan masyarakat sivil akan diteruskan.
"Himpunan Sabtu ni akan tetap diteruskan. Kita akan pastikan Azam Baki takkan disambung untuk kali keempat," katanya kepada Malaysiakini.
Dalam kenyatan yang dikongsi di media sosial, Faisal berkata kontroversi berkaitan SPRM bukan isu berkaitan Azam semata-mata tetapi isu sistem dan struktur.
“Kes pegangan saham, mafia korporat, ketelusan dalam siasatan, termasuk kes kematian arwah Ahmad Saibaini dan mendiang Teoh Beng Hock menjadi kewajaran untuk kerajaan umumkan RCI,” katanya.





