Pelakon baharu, TJ, kini tekad membina nama dalam dunia lakonan dan membuktikan bahawa impiannya untuk berjaya bukanlah sekadar angan-angan kosong.
Artikel Berkaitan: ‘Malaysia Bukan Tiada Pelakon Aksi, Cuma Tak Diberi Peluang’ – Adam Lee
Artikel Berkaitan: Fareez Fauzi Kurang Terima Tawaran, Nekad Sertai Sukan Tinju – ‘Asal Halal, Saya Sanggup’
Ada identiti eksklusif

Menurut TJ atau nama penuhnya Lee Tian Jiang, 27, dia tidak menolak kemungkinan untuk meninggalkan kampung halaman sekiranya mempunyai peluang yang lebih cerah untuknya.
Hal ini kerana, Kuala Lumpur adalah medan untuknya mengorak langkah lebih jauh, selari dengan cita-citanya menembusi pasaran industri.
Katanya, bakat dalam seni mempertahankan diri bukan sekadar hobi, malah ia merupakan nilai tambah dan identiti eksklusif yang ingin ditonjolkan sepanjang penglibatannya dalam dunia perfileman.
Sebenarnya saya bukan saja memasang impian mencipta nama dalam negara.
Kalau berpeluang, saya memang akan sanggup berkelana ke luar negara demi lebarkan sayap karier lakonan.
Namun, buat masa ini, sebaiknya saya mahu mengukuhkan nama dalam industri arus perdana terlebih dulu.
Sekurang-kurangnya saya dikenali di sini dan kuatkan nama dalam kalangan pengikut filem kita.
Lagipun, banyak lagi impian saya termasuk bekerja dengan pengarah-pengarah hebat tempatan belum terlaksana.
Saya masih mahu belajar dan menuntut ilmu daripada mereka.
Walaupun usianya masih muda, TJ bukanlah pendatang baharu yang tiada pengalaman dalam industri.
Malah, dia sudah terlibat dalam beberapa filem tempatan berskala besar dan aktif memburu peluang bagi memperluaskan pengaruh namanya dalam industri.
Detik traumatik tetapi bermakna

Berkongsi lebih lanjut, dia akui tidak gentar menyahut cabaran, khususnya watak yang memerlukan aksi fizikal intensif.
TJ turut berkongsi, pengalaman paling mencabar sepanjang penglibatannya dalam dunia lakonan, yang disifatkan sebagai detik traumatik tetapi penuh makna.
Dalam pada itu, insiden tersebut berlaku ketika dia membintangi sebuah filem aksi yang menjalani penggambaran di Sabah.
Filem itu berkisar menentang pasukan pertahanan Jepun dan karakter saya adalah seorang lelaki kampung.
Saya cuma berkaki ayam sewaktu babak pertarungan di hutan dan tidak sengaja terpijak bambu tajam.
Saya mengalami luka yang agak dalam pada kaki sehingga perlu lakukan tujuh jahitan.
Tapi disebabkan jadual penggambaran yang ketat, saya teruskan saja berlakon selama tujuh jam sebelum dapat ke hospital.
Saya cuma dibekalkan antibiotik oleh doktor, tidak cukup tidur, dan perlu bersihkan luka kaki saya setiap tiga jam.
Ketika itu, penggambaran masih lagi berbaki selama 20 hari.
Mengulas tentang impiannya, TJ berhasrat ntuk bekerjasama dengan barisan pengarah ternama tanah air seperti Adrian Teh, Shuhaimi Baba, Datuk Yusof Haslam, Michael Ang, Syamsul Yusof dan Tan Chui Mui, dan ramai lagi penggiat industri.
Sasaran saya bukan setakat menjadi aktor terbaik di Malaysia, tapi ingin membawa nama negara ke seluruh dunia.
Saya nak tunjukkkan bahawa Malaysia juga mampu hasilkan filem aksi hebat dan pelakon aksi kita pun berkualiti.
Donnie Yen dan Jason Statham adalah inspirasi terbesar saya.
Filem-filem lakonan mereka sentiasa buat saya berkobar.
Saya juga dambakan filem yang membawa mesej besar dan nilai-nilai berguna.
Menguasai pelbagai jenis seni bela diri

Sehubungan itu, minatnya terhadap seni mempertahankan diri sudah sebati sejak kecil, kerana dipengaruhi oleh ikon aksi antarabangsa seperti Jackie Chan, Jet Li dan Donnie Yen yang menjadi sumber inspirasi awalnya.
Bagi TJ, kebolehan menguasai pelbagai jenis seni bela diri termasuk kungfu, Taekwondo, Karate, Muay Thai, Wing Chun serta seni pertahanan ekstrem menjadi aset unik yang membezakan dirinya daripada pelakon lain.
Kembara seni pertahanan diri saya bermula sejak kecil lagi.
Bapa saya selalu bawa tonton wayang aksi dan beli DVD filem aksi klasik Hong Kong yang tinggalkan kesan besar dalam diri saya.
Kali pertama menonton filem aksi, kekaguman saya terus memuncak.
Kemudian minat tambah bercambah apabila menonton filem kartun adiwira, buatkan saya ingin ada kemahiran bertarung.
Daripada situlah saya meminta bapa saya ajar kerana dia adalah sifu tarian singa yang mana kemahiran berkungfu menjadi asas penting perlu dipelajari.
Pada usia 10 tahun, saya mula belajar kemahiran itu.
Sepanjang perjalanan seninya, TJ berjaya mengukuhkan profil lakonan menerusi pembabitan dalam filem seperti Gayong, Paskal Air Force The Movie, Money Games dan The Fist Of Legend.
Terbaharu, TJ turut mencatat satu lagi kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai juara Bachelor of Malaysia 2025 (BOM), sekali gus membuka lembaran baharu dalam kehidupannya.
Dengan tanggungjawab bakal mewakili Malaysia di peringkat antarabangsa, TJ kini giat melakukan persiapan menyeluruh merangkumi pelbagai aspek penting.
Baginya, peluang tersebut bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya medan besar untuk membuktikan potensi sebenar dirinya.
The post ‘Saya Sanggup Ke Luar Negara Demi Lebarkan Sayap Lakonan’ – TJ first appeared on OHBULAN!.





