25 C
Kuala Lumpur
Friday, September 25, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Bila Prioriti Berubah, Nabila Razali Buka Bab Baharu Dalam Muzik

    Shopee Sale

    Ada satu fasa dalam perjalanan seseorang artis apabila perubahan bukan lagi tentang menukar genre atau imej, tetapi menyesuaikan kerjaya dengan kehidupan yang turut bertukar.

    Bagi Nabila Razali, sejak mendirikan rumah tangga pada 2023 dan kini bergelar ibu, muzik masih menjadi sebahagian besar daripada dirinya. Cuma cara dia bergerak tidak lagi sama seperti dahulu.

    Kalau sebelum ini satu hari boleh diisi dengan beberapa persembahan di negeri berbeza, hari ini setiap jadual turut mengambil kira masa bersama keluarga.

    Namun perubahan momentum itu tidak bermaksud Nabila mahu memperlahankan perjalanan seninya.

    Sebaliknya, menerusi single terbaharu, Cukup Sampai Sini, penyanyi itu memilih untuk membuka satu lagi bab dalam kerjayanya dengan mula menulis, meneroka bunyi yang lebih dekat dengan dirinya dan kembali kepada warna pop yang pernah membentuk nama Nabila Razali.

    ARTIKEL BERKAITAN: Nabila Razali Tak Marah Lagu Dilabel ‘Sampah’ – ‘Sebelum Menulis Fikir Usaha & Penat Lelah Orang’

    ARTIKEL BERKAITAN: Nabila Razali Boleh Terima Kecaman, Tapi Jangan Sentuh Keluarga – ‘Kalau Sampai Jatuhkan Maruah Mereka, Saya Tidak Gemar’

    Bukan Hilang, Cuma Keutamaan Berbeza

    Ketika ditemui pada majlis pelancaran Cukup Sampai Sini baru-baru ini, Nabila mengakui kehidupan selepas berkahwin memang mengubah momentumnya sebagai penyanyi.

    “Selepas berkahwin, Bella tak nafikan laluannya agak mencabar. Bukan sebab kahwin itu tak seronok, alhamdulillah semuanya baik. Cuma momentum dan prioriti berubah.

    “Kalau dulu 24 jam kita boleh fikir kerja, konten dan show. Sehari tiga show, tiga negeri pun kita boleh pergi. Sekarang kita kena fikir, tak bolehlah setiap hari tak jumpa anak,” katanya.

    Bagi Nabila, cabarannya sekarang ialah mencari keseimbangan antara tiga peranan yang bergerak serentak, sebagai ibu, isteri dan penyanyi.

    View this post on Instagram

    A post shared by XTRA (@xtra_my)

    Dia masih mahu berkarya, tetapi tidak lagi mahu mengejar jadual dengan cara sama seperti ketika belum berkeluarga.

    Selepas beberapa tahun melalui perubahan itu, Nabila semakin memahami bahawa kerjaya tidak semestinya perlu bergerak pada kelajuan yang sama untuk terus hidup.

    Kalau Tak Mula Sekarang, Sampai Bila?

    Menariknya, Cukup Sampai Sini turut membawa Nabila ke ruang yang selama ini belum benar-benar diterokainya apabila dia mula mencuba menghasilkan karya sendiri.

    Idea lagu tersebut sebenarnya sudah lama tersimpan, namun Nabila mengakui pernah berasa ragu-ragu untuk melepaskannya.

    “Lagu ini agak lama juga terbuku. Ada masa Bella fikir, yakin ke nak keluarkan? Ada ke orang nak dengar?

    “Tapi Bella fikir balik, kalau Bella tak start sekarang, sampai bila?” katanya.

    Daripada situ, Nabila memilih untuk belajar.

    View this post on Instagram

    A post shared by XTRA (@xtra_my)

    Dia banyak bertanya kepada komposer yang pernah bekerjasama dengannya, mendapatkan pandangan tenaga muzik di sekelilingnya serta menggunakan sesi latihan vokal sebagai ruang untuk memahami dengan lebih mendalam bagaimana sesebuah lagu dibentuk.

    “Banyak sangat benda yang Bella kena belajar. Bella bersyukur sebab dikelilingi orang yang tak lokek ilmu dan sudi ajar apa yang Bella kurang.

    “Kalau kita nak buat sesuatu, kita kena bekerjasama dengan orang yang lebih tahu,” katanya.

    Pendekatan itu membuatkan Cukup Sampai Sini bukan sekadar satu lagi lagu dalam diskografi Nabila, tetapi percubaan untuk memahami muziknya dari sisi yang berbeza.

    Bukan hanya sebagai suara yang menyanyikan karya orang lain, tetapi sebagai individu yang mula memikirkan bagaimana sebuah lagu mahu dibina dan disampaikan.

    Kembali Kepada Warna Yang Membentuk Nabila Razali

    Sejak muncul dengan lagu seperti Cemburu, Pematah Hati, Vroom Vroom dan khususnya Cumi-Cumi, Nabila cukup sinonim dengan muzik pop yang ringan, ceria dan mempunyai karakter tersendiri.

    Walaupun pernah meneroka lagu-lagu bernuansa balada dan lebih emosional, dia akhirnya sedar bahawa ada satu sisi dirinya yang sukar ditinggalkan.

    MENARIK:  ‘Aku Tak Maafkan Yang Kecam Suami Aku’ – Isteri Chiwan Chilok

    “Sampai sekarang orang masih panggil Bella Kak Cumi-Cumi.

    “Bella rasa Bella memang tak boleh lari daripada karakter itu, bubblegum pop, pop macam itu. Bella dah cuba lagu merintih dan galau, Bella seronok juga. Tapi tak salah untuk Bella kembali,” katanya.

    Malah bagi Nabila, kepelbagaian genre dalam industri muzik tempatan tetap sesuatu yang perlu diraikan.

    Dia menghargai balada, dangdut dan muzik tradisional, namun dalam masa sama merasakan ada ruang untuk pop kembali diberikan lebih banyak warna.

    “Bella appreciate semua warna yang ada dalam industri muzik kita. Kita ada balada, dangdut, irama tradisional.

    “Tapi Bella rasa pop is missing, so I’m here to give you pop,” katanya berseloroh.

    Kenyataan itu mungkin kedengaran ringkas, tetapi ia sebenarnya menjelaskan arah yang mahu dibawa Nabila selepas beberapa tahun mencuba pelbagai sisi muzik.

    Bukan bermaksud meninggalkan genre lain, tetapi kembali memahami apa yang membuatkan dirinya dikenali sejak awal.

    Buka Buku Baharu, Bukan Padam Yang Lama

    Bagi Nabila, fasa ini juga seperti membuka sebuah buku baharu.

    Dia mahu mencuba menulis lebih banyak karya, bekerjasama dengan tenaga kreatif berbeza dan melihat sejauh mana muzik yang lahir daripada perspektifnya sendiri boleh berkembang.

    “Sekarang Bella cuba buka buku baharu apabila mula menulis lagu. Mungkin selama ini bila bekerjasama dengan komposer lain, orang dah nampak satu pattern.

    “Jadi Bella fikir, apa kata Bella cuba sesuatu yang baharu pula?” katanya.

    Harapannya terhadap Cukup Sampai Sini tetap besar. Seperti penyanyi lain, dia juga mahu melihat karya tersebut pergi jauh dan berada di pentas berprestij.

    Namun untuk percubaan pertama ini, penerimaan pendengar sudah memberi makna tersendiri.

    Lebih daripada pencapaian carta atau anugerah, lagu itu menjadi bukti bahawa selepas kehidupan berubah, Nabila masih mempunyai keinginan untuk mencipta sesuatu yang baharu.

    Lagu Untuk Mereka Yang Tahu Bila Perlu Berhenti

    Di sebalik bunyi pop yang dibawakan, Cukup Sampai Sini turut membawa mesej yang cukup dekat dengan generasi muda.

    Menggunakan konsep schoolgirl bagi visualnya, Nabila mahu menyampaikan tentang keberanian untuk meletakkan noktah apabila seseorang sudah terlalu banyak memberi dalam sebuah hubungan.

    Menurutnya, seseorang tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada orang lain sehingga mengabaikan diri sendiri.

    “Kalau kita rasa terlalu banyak dipergunakan, just put an end to it. Kita kata stop.

    “Bella cuba terjemahkan semua itu dalam lagu ini dan harap mesejnya sampai kepada pendengar, terutama Gen Z,” katanya.

    Menariknya, mesej itu seakan selari dengan perjalanan Nabila sendiri ketika menghasilkan lagu tersebut.

    Ada perkara yang perlu dihentikan, ada keraguan yang perlu dilepaskan dan ada fasa baharu yang hanya boleh bermula apabila seseorang berani mencuba.

    “Kalau Ada Permintaan, Bella Ada”

    Selepas lebih sedekad membina nama, Nabila masih melihat peminat sebagai antara sebab utamanya terus berada dalam industri.

    Selagi masih ada individu yang menunggu lagu seterusnya atau mahu mengetahui bunyi apa yang akan dibawa Nabila selepas ini, dia merasakan masih ada ruang untuk terus berkarya.

    “Kalau ada seorang dua yang masih tunggu, ‘Nabila keluarlah lagu’, maksudnya masih ada permintaan.

    “Bila ada permintaan, Bella ada,” katanya.

    Mungkin itulah kedudukan Nabila Razali hari ini.

    Bukan lagi penyanyi yang perlu bergerak seperti ketika baru bermula, tetapi seorang wanita yang sedang belajar membina kerjaya mengikut rentak hidupnya sendiri.

    Dan menerusi Cukup Sampai Sini, tajuknya mungkin berbicara tentang pengakhiran sebuah hubungan.

    Namun untuk perjalanan muzik Nabila Razali, ia sebenarnya kelihatan seperti permulaan kepada sesuatu yang baharu.

    Cukup Sampai Sini kini menjadi single terbaharu Nabila Razali dan turut hadir bersama video muzik rasmi.

    The post Bila Prioriti Berubah, Nabila Razali Buka Bab Baharu Dalam Muzik first appeared on OHBULAN!.



    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah