Aktor versatil, Datuk Rosyam Nor memberikan pandangannya tentang isu segelintir pelakon yang tiba lewat di set penggambaran.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Tak Kisah Pelakon Senior Atau Baru, Jangan Buat Orang Lain Menunggu Kita’ – Azhan Rani
Artikel Berkaitan: [VIDEO] ‘Tunggu Saya Akan Serang’ – Rosyam Nor Respon Isu Marah ‘Intern’
Pelakon datang lewat

Ketika ditemui Rosyam atau nama lengkapnya, Mohamed Noor Shamsuddin, 59, memberitahu bahawa isu tersebut berlaku sejak dia mula menapak di dalam industri seni lagi.
Menurut Rosyam, tidak semua pelakon yang tiba lewat di set penggambaran sengaja berbuat demikian kerana kemungkinan mereka sedang berdepan dengan situasi yang tidak diingini.
Kadang-kadang kita tidak tahu apa masalah yang dihadapi oleh pelakon itu. Mungkin dia berdepan sesuatu perkara, jadi kita terima sahaja.
Sebenarnya pada zaman saya dahulu pun ada juga pelakon senior yang datang lewat. Bagi saya, itu antara rencah kehidupan dalam bidang lakonan.
Namun, jika mereka sudah komited dengan kerja dan hanya sekali-sekala lewat kerana sebab munasabah, saya rasa tidak ada masalah. Tetapi kalau setiap hari datang lambat, itu sudah kurang ajar namanya.
Rosyam berkata demikian ketika ditemui pada tayangan perdana drama vertikal, My Ramadan Love Story yang ditayangkan menerusi platform penstriman, P-Circle di Courtyard by Marriott, Kuala Lumpur pada Isnin.
Perlu ada disiplin

Walau bagaimanapun, Rosyam tetap menegaskan bahawa disiplin merupakan perkara penting yang harus diutamakan terutama apabila melibatkan keseluruhan produksi yang bertungkus-lumus menjayakan sesebuah karya.
Bagi mereka yang sering datang lewat, mungkin hari ini mereka merasakan diri sangat diperlukan. Tetapi satu hari nanti mungkin mereka tidak lagi diperlukan.
Ketika itu, kalau baru hendak memperbetulkan disiplin, mungkin sudah terlambat. Perkara seperti ini banyak berlaku di depan mata saya.
Kadang-kadang orang memilih seseorang pelakon bukan semata-mata kerana lakonannya hebat, tetapi kerana disiplin yang ditunjukkan.
Walaupun lakonannya sederhana, tetapi jika disiplin baik, tidak merosakkan dan tidak menjejaskan produksi, saya rasa orang seperti itu akan menjadi pilihan.
Malah saya lihat ramai yang mempunyai disiplin tinggi terus berkarya dan bekerja sehingga hari ini kerana diberikan peluang oleh produksi.
Dalam masa sama, pelakon filem Janji Diana itu mendedahkan dirinya tidak pernah datang lewat ke set penggambaran kerana mengambil serius akan rezeki yang dikurniakan Allah SWT.
Saya sendiri tidak pernah datang lewat. Bukan apa, saya anggap ini rezeki yang Allah berikan. Bila sudah diberikan rezeki, kita kena jaga.
Kalau benar-benar lambat kerana jalan sesak atau ada masalah, beritahulah kepada pihak produksi. Tetapi janganlah sampai lima jam lewat. Itu bukan lambat, itu sudah kurang ajar namanya.
Terdahulu, di Threads, aktor Azhan meluahkan rasa terkilan dengan sikap segelintir pelakon, khususnya bakat baharu yang hadir lewat ke lokasi penggambaran.
Azhan menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak menghormati masa orang lain, lebih-lebih lagi apabila individu terbabit seolah-olah tidak rasa bersalah dengan kelewatan yang dilakukan.
The post Rosyam Nor Komen Isu Pelakon Datang Lewat – ‘Janganlah Sampai 5 Jam Lambat, Itu Kurang Ajar Namanya’ first appeared on OHBULAN!.





