30.6 C
Kuala Lumpur
Sunday, September 6, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Palsu’: Kedutaan AS nafi dakwaan Hadi mengenai tawaran jatuhkan k’jaan BN

    Shopee Sale

    Kedutaan Amerika Syarikat (AS) menafikan dakwaan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, bahawa wakil negara itu pernah menawarkan bantuan kepada parti Islam berkenaan untuk menjatuhkan kerajaan BN.

    “AS tidak pernah mencuba untuk menentukan kepimpinan politik Malaysia. Sebarang dakwaan sebaliknya adalah palsu,” kata David H Gamble Jr, yang kini mengetuai Kedutaan AS di Kuala Lumpur, dalam kenyataan ringkas kepada Malaysiakini awal pagi tadi.

    Dalam ucapan penggulungan pada Muktamar PAS ke-72 di Kota Bharu semalam, Abdul Hadi mendakwa tawaran tersebut dibuat ketika salah satu lawatan bekas Presiden AS, Barack Obama, ke Malaysia. Ketika itu, beberapa pemimpin PAS telah dijemput menghadiri satu acara di Kedutaan AS di Kuala Lumpur.

    Kedua-dua lawatan Obama ke Malaysia pada 2014 dan 2015 berlaku ketika Najib Razak masih menjadi perdana menteri. Najib kini dipenjarakan selepas disabitkan kesalahan pada 2020 atas tujuh pertuduhan membabitkan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta milik SRC International.

    Abdul Hadi berkata perkara itu berlaku ketika PAS merupakan sebahagian daripada gabungan Pakatan Rakyat. Dia turut berkata Setiausaha Agung PAS ketika itu, Takiyuddin Hassan, dan Naib Presiden PAS, Ahmad Samsuri Mokhtar, yang ketika itu merupakan setiausaha politiknya, turut menghadiri acara berkenaan.

    Abdul Hadi berkata dia menghadiri jemputan itu bersama bekas Setiausaha Agung PAS, Mustafa Ali.

    “Dia tanya, ‘Siapa PAS cadang jadi perdana menteri?’

    “Saya kata, ‘Siapa Amerika setuju?’

    “Tergamam dia!

    “Saya jawab, ‘Amerika setuju siapa dia? Amerika sokong siapa dia?’ Itu jawapan daripada saya,” katanya.

    Pada sidang media selepas berakhirnya muktamar semalam, Takiyuddin mengesahkan dakwaan Abdul Hadi mengenai tawaran yang didakwa dibuat oleh AS itu.

    “Wakil daripada kedutaan tanya adakah PAS merancang untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional pada masa itu?

    “Jadi, kami tak bagi apa-apa keputusanlah, lantas kita tidak mengharapkan campur tangan daripada negara-negara luar.

    “Sebab politik negara kita, negara kitalah. Tak boleh campur tangan luar.

    MENARIK:  'Kerana PAS, tak mustahil pengundi India sakong calon Bersatu'

    “Kalau parti lain nak campur tangan luar nak menjatuhkan, itu ikut merekalah. Kami tidak,” kata Takiyuddin, yang merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang).

    Rayer mahu siasatan, PSM sindir PAS

    Susulan dakwaan itu, Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer menggesa kerajaan menjalankan siasatan kerana bimbang perkara tersebut mempunyai implikasi serius.

    Dalam satu kenyataan, dia turut mempersoalkan mengapa Abdul Hadi tidak memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar, polis atau agensi keselamatan negara yang berkaitan.

    Dia turut menyifatkan perkara itu sebagai “pengkhianatan” dan “derhaka kepada negara”.

    “PAS tidak boleh menuntut ketelusan dan akauntabiliti daripada pihak lain tetapi berdiam diri mengenai dakwaan sebesar ini yang membabitkan sebuah kerajaan asing, khususnya AS.

    “Pegawai AS yang terlibat boleh sahaja ditangkap serta-merta. Mengapa PAS berdiam diri selama ini?

    “Ini adalah isu keselamatan negara dan bukannya sesuatu yang boleh dibanggakan secara sambil lalu dalam sebuah muktamar parti,” katanya.

    Rayer berkata rakyat Malaysia berhak mengetahui siapa yang menghadiri pertemuan tersebut, bila dan di mana ia berlangsung, siapa yang membenarkannya, perkara yang dibincangkan dan, paling penting, sama ada mana-mana wakil kerajaan asing terlibat dalam usaha mempengaruhi, menggugat kestabilan atau memudahkan penyingkiran kerajaan Malaysia yang dipilih secara sah.

    “Ini bukan mengenai PAS, Pakatan Harapan, BN atau Perikatan Nasional. Ini mengenai Malaysia,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan mengkritik Abdul Hadi berhubung dakwaan tersebut dan mempersoalkan penglibatan PAS dengan pegawai AS pada masa lalu.

    Dia membandingkan perkara itu dengan pendekatan PSM. Katanya, ketika ramai pemimpin NGO dan politik Malaysia begitu teruja untuk bertemu Obama serta bergambar dengannya ketika lawatannya ke Malaysia, PSM sebaliknya menolak jemputan tersebut.

    Arutchelvan berkata Pengerusi PSM ketika itu, Dr Michael Jeyakumar, turut menulis surat terbuka kepada Obama bagi menyatakan kritikan parti itu terhadap dasar luar AS dan kesannya terhadap dunia.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah