Ada nama yang sudah puluhan tahun mewarnai dunia seni, ada yang membesar menjadi suara generasinya dan ada pula yang sedang mengukir langkah untuk mencipta perjalanan sendiri.
Berbeza usia, pengalaman dan fasa kerjaya, namun pada satu pagi yang dipenuhi kibaran Jalur Gemilang, deruman pesawat di udara serta sorakan ribuan masyarakat, segala perbezaan itu seakan diketepikan.
Pelakon berpengalaman Datuk Razak Ahmad, penyanyi Haqiem Rusli serta penyanyi dan pelakon muda Zaki Yamani menjadi antara wajah seni yang turut sama memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan baru-baru ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Maryam Terkejut Sambutan Hari Kemerdekaan Di Malaysia Berbeza Dengan Korea Selatan – ‘Betapa Meriahnya Dekat Sini’
ARTIKEL BERKAITAN: 69 Tahun Merdeka, Apa Yang Membuatkan Sesebuah Lagu Kedengaran ‘Bunyi Malaysia’?
3 Nama, 3 Generasi Berbeza
Tiga nama daripada tiga generasi berbeza itu mencipta gambaran tersendiri apabila berada dalam satu ruang yang sama, dikelilingi masyarakat daripada pelbagai lapisan usia yang datang dengan satu tujuan, meraikan sebuah hari yang cukup dekat dengan rakyat Malaysia.
Jika Razak membawa bersamanya pengalaman panjang setelah menyaksikan pelbagai perubahan dunia hiburan tanah air, Haqiem pula mewakili generasi penyanyi masa kini yang terus memiliki tempat tersendiri dalam kalangan peminat.
Zaki melengkapkan pertemuan itu sebagai antara wajah muda industri, membawa bersamanya energi generasi baharu yang sedang membina nama menerusi muzik dan lakonan.

Tidak memerlukan pentas khusus untuk menjadikan pertemuan itu menarik. Kehadiran mereka di tengah-tengah ribuan pengunjung sudah cukup memberi warna apabila dunia seni dan masyarakat bertemu dalam suasana santai tetapi penuh kemeriahan.
Sesekali perhatian terarah kepada wajah-wajah yang cukup dikenali itu, namun tumpuan utama pagi berkenaan tetap kepada sebuah sambutan yang menghimpunkan rakyat daripada pelbagai generasi.

Daripada kanak-kanak yang menggenggam Jalur Gemilang, keluarga yang hadir bersama sejak awal pagi sehinggalah generasi lebih berusia yang setia menantikan perbarisan, suasana yang tercipta menjadi antara gambaran bagaimana sebuah sambutan mampu menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dalam satu ruang.
20,000 Pengunjung Meriahkan Sambutan
Kemeriahan itu merupakan sebahagian daripada Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) 4, Kemunting dengan kehadiran kira-kira 20,000 pengunjung.
Acara berkenaan diserikan dengan keberangkatan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Ketibaan Sultan Pahang pada kira-kira pukul 8.30 pagi turut disambut Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail, selain barisan kepimpinan Kerajaan Negeri.

Sultan Pahang kemudian berkenan memeriksa Kawalan Hormat Utama sebelum menyaksikan persembahan 150 kontinjen, merangkumi 87 kontinjen berjalan kaki dan 63 kontinjen berkenderaan.
Keseluruhannya, seramai 3,373 peserta menyertai kontinjen berjalan kaki, selain 609 kenderaan serta tujuh pancaragam yang mengambil bahagian sepanjang lebih dua jam acara berlangsung.

Antara detik yang paling mencuri perhatian ialah kemunculan enam pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM daripada No. 12 Skuadron, Pangkalan Udara Gong Kedak yang melakukan lintas hormat di ruang udara Bandaraya Kuantan.
Deruman pesawat yang membelah ruang udara disambut sorakan pengunjung, sekali gus menjadi antara momen yang melengkapkan kemeriahan pagi berkenaan.
Namun bagi dua pengunjung, sambutan tersebut membawa pulang kenangan yang jauh lebih besar apabila mereka bukan sekadar datang menyaksikan acara, malah pulang dengan sebuah kereta.
Nur Athirah Zainal Abidin, 25, dari Balok memenangi hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah Proton Saga, manakala Muhammad Hairi Syahril, 42, dari Taman Inderapura membawa pulang sebuah Perodua Bezza.

Lebih manis, Nur Athirah yang mengusahakan perniagaan penghantaran kek merancang menggunakan kenderaan tersebut bagi membantu urusan perniagaannya, sementara Muhammad Hairi pula bercadang menyerahkan Perodua Bezza yang dimenangi kepada isterinya untuk kegunaan keluarga dan urusan anak-anak ke sekolah.
Hadiah cabutan bertuah sumbangan Kerajaan Negeri itu disampaikan oleh Wan Rosdy kepada kedua-dua pemenang.
Daripada pertemuan tiga generasi dunia seni, perbarisan penuh warna, deruman pesawat pejuang sehinggalah rezeki tidak disangka-sangka buat pengunjung, sambutan pagi itu akhirnya meninggalkan cerita yang berbeza buat setiap yang hadir.
The post Razak Ahmad, Haqiem Rusli & Zaki Yamani Bergabung… 3 Generasi, 1 Semangat Merdeka first appeared on OHBULAN!.





