MUKTAMAR PAS | Pengarah Pilihan Raya PAS Sanusi Nor dilihat sudah tidak mahu lagi mencampuri kemelut susulan cubaan menjatuhkan kerajaan Perlis sebelum ini, yang menyaksikan parti itu kehilangan jawatan menteri besar kepada Bersatu.
Dalam ucapan penggulungannya pada Muktamar PAS ke-72 di Kota Bharu hari ini, Sanusi yang juga menteri besar Kedah berkata dia sudah berulang kali mengingatkan PAS supaya mempertahankan negeri yang dikuasai parti itu.
“Kawasan yang telah menang, saya pesan dah tahun lepas. Saya pesan dah, saya tak lepas pun... Lepas pesanan pun berkelahi lagi.
“Saya habaq (beri tahu) kat orang Perlis jangan berkelahi, balik-balik berkelahi teruk lagi. Sampai la ni, insya-Allah lepas ni tak berkelahi dah.

“Cukuplah setakat tu, hampa (kamu semua) ni ketegar (keras kepala)!
"Hak orang larang tu hampa buat dulu. Tak ada siapa dah nak pergi berubat, hampa berubatlah diri hampa sendiri.
“Habis dah ikhtiar. Habis dos paling tinggi dah, tujuh dah. Tak lega juga? Kejap lagi litar pintas banglah,” katanya secara berseloroh dengan gaya lantang yang menjadi kebiasaannya.
Bagaimanapun, Sanusi turut yakin ketegangan dalam kalangan wakil rakyat negeri itu tidak lagi akan menimbulkan kebimbangan.

Pada 3 Sept lalu, seorang perwakilan Pemuda PAS Perlis menggesa pucuk pimpinan parti itu dan Perikatan Nasional (PN) mempertimbangkan “tindakan tegas” terhadap Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah.
Secara khusus, Ali Na’imi Ahmad Azizi menuduh Abu Bakar semakin mencalarkan imej PN dan PAS di negeri itu.
Dia mendakwa Adun PAS dilayan seperti wakil pembangkang manakala tindakan turut diambil terhadap beberapa lantikan politik daripada parti berkenaan.
Abu Bakar kemudian menolak dakwaan itu dengan menegaskan hubungannya dengan pemimpin PAS Perlis kekal baik dan isu berkenaan hanya membabitkan individu yang menyokong bekas menteri besar Shukri Ramli.

Abu Bakar daripada Bersatu mengangkat sumpah sebagai menteri besar Perlis pada 28 Dis tahun lalu, dengan Adun Kuala Perlis itu menggantikan Shukri daripada PAS yang meletakkan jawatan atas faktor kesihatan.
Peletakan jawatan Shukri berlaku ketika cubaan menjatuhkannya yang membabitkan Bersatu dan tiga Adun PAS.
Keahlian ketiga-tiga Adun berkenaan kemudian ditamatkan, manakala kerusi mereka dalam Dewan Undangan Negeri Perlis dikosongkan.
Susulan gerakan politik itu, hubungan PAS dan Bersatu menjadi keruh sehingga PAS menamatkan kerjasama politiknya dengan parti pimpinan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.





