
Penyanyi Ismail Izzani, meluahkan rasa gembira dengan kebahagiaan yang dikecapinya bersama keluarga terutama selepas bonda tercinta, Suliza Salam mendirikan rumah tangga buat kali kedua.
Raya makin meriah

Ketika ditemui , Ismail atau nama lengkapnya Izzani Zainal Nazeri mengucapkan rasa syukur dengan kurniaan yang diberikan oleh Allah SWT terhadap keluarganya meskipun pernah berdepan dengan ujian.
Ismail juga teruja kerana seluruh keluarganya dapat berhimpun bersama Syawal ini.
Raya tahun ini akan lengkap insya-Allah. Saya yakin semua yang berlaku pasti ada sebabnya dan saya tak menyangka kebahagiaan akan datang dengan cara yang begitu.
Walaupun ada fasa kesusahan yang perlu kami hadapi namun pada akhirnya Allah sangat adil. Ibu, saya dan keluarga sangat bahagia.
Bersama bapa kandung

Dalam pada itu, pelantun lagu Luar Biasa tersebut juga berkata, dia tetap mengekalkan hubungan yang baik dengan bapa kandungnya walaupun terpisah kerana perceraian.
Alhamdulillah, saya masih berhubung dengan ayah saya dan baru-baru ini kami ada juga berjumpa.
Kami bertemu, meluangkan masa dan berbual-bual bersama.
Sekarang, ayah kandung saya juga bahagia di samping keluarga baharunya.
Raya tahun ini saya juga akan berkunjung ke rumah ayah dan pastinya akan lebih meriah.
Pada 22 Disember lalu, penyanyi era 1980-an itu selamat mendirikan rumah tangga bersama pilihan hati, Ismail A. Samad.
Untuk rekod, Suliza bernikah dengan ahli perniagaan terkenal iaitu Datuk Zainal Nazeri Zainuddin pada 11 Januari 1991. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nurizzati, Nur Falahi dan Ismail Izzani.
Bagaimanapun pasangan itu tidak pernah berkongsi mengenai perpisahan mereka sehingga sekitar tahun lalu, Ismail mengesahkan perceraian ibu bapanya.





