30.3 C
Kuala Lumpur
Tuesday, May 19, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Krisis Asia Barat: 14 juta orang boleh hilang kerja tahun ini – ILO

    Shopee Sale

    Pendapatan buruh sebenar boleh menjunam sebanyak RM13.2 trilion (AS$3 trilion) menjelang 2027, sekali gus menambah tekanan terhadap ekonomi global yang sudah bergelut dengan pertumbuhan lemah, menurut amaran Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

    Ketua Ekonomi ILO dan pengarang laporan Employment and Social Trends May 2026 Update, Sangheon Lee berkata unjuran buruk itu berpunca daripada kesan krisis Asia Barat yang semakin meluas, yang kini berubah daripada konflik serantau kepada “kejutan bergerak perlahan” dan semakin dirasai di seluruh Asia serta Pasifik.

    “Apa yang bermula sebagai kejutan luar akhirnya sampai kepada pekerja dan perusahaan, serta boleh meninggalkan parut yang lebih dalam,” kata Lee.

    Laporan itu mengenal pasti Asia dan Pasifik sebagai antara zon paling terdedah di dunia kepada jangkitan ekonomi ini, dengan amaran krisis tersebut mengancam untuk menekan pasaran buruh, menghimpit pendapatan isi rumah dan mengganggu kiriman wang pekerja migran yang penting di seluruh rantau itu.

    Dalam satu contoh kemungkinan, apabila harga minyak melonjak 50 peratus melebihi purata awal 2026, ILO mengunjurkan ekonomi global boleh kehilangan pekerjaan bersamaan 14 juta pekerjaan sepenuh masa tahun ini.

    Keadaan dijangka bertambah buruk menjelang 2027, dengan kehilangan pekerjaan berpotensi meningkat tiga kali ganda kepada 38 juta jawatan bersamaan sepenuh masa.

    Pekerja migran dan kiriman wang - talian hayat tertekan

    Laporan itu menyatakan negara-negara Arab serta Asia-Pasifik merupakan rantau paling terdedah di peringkat global susulan pergantungan besar terhadap aliran tenaga Teluk, laluan perdagangan dan rangkaian migrasi buruh.

    Laporan itu mengunjurkan di Asia-Pasifik, ketika banyak ekonomi sangat bergantung kepada tenaga import dan pelancongan, waktu bekerja boleh merosot sebanyak 1.5 peratus manakala pendapatan buruh sebenar boleh jatuh sehingga 4.3 peratus menjelang 2027.

    Sementara itu, negara-negara Arab berdepan prospek lebih buruk.

    MENARIK:  Pinjaman PTPTN: Harga mi wantan pun naik berkali ganda, kata MP

    Dalam senario peningkatan krisis yang memburuk, rantau itu boleh menyaksikan kejatuhan 10.2 peratus dalam waktu bekerja - satu krisis lebih dua kali ganda berbanding skala gangguan yang direkodkan ketika pandemik Covid-19 pada 2020.

    Bagi banyak negara di Asia Selatan dan Asia Tenggara, krisis itu memberi kesan langsung melalui gangguan terhadap migrasi buruh.

    Laporan itu mencatatkan penurunan mendadak dalam penempatan pekerja ke negara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) sejak krisis bermula.

    Gangguan penerbangan, kebimbangan keselamatan, dan permintaan buruh yang semakin lemah dalam sektor sangat terdedah seperti pembinaan, hospitaliti dan pengangkutan menyebabkan peningkatan serentak dalam penghantaran pulang pekerja.

    Peralihan ini mencetuskan kelemahan ketara dalam aliran kiriman wang yang menjadi talian hayat kewangan penting kepada jutaan isi rumah di negara penghantar buruh.

    “Jika krisis ini mengganggu penempatan pekerja dan aliran kiriman wang, kesannya boleh merebak kepada penggunaan, kemiskinan dan pekerjaan tempatan di negara asal,” kata ILO memberikan amaran.

    Gesa tindakan segera

    Walaupun sebahagian kerajaan sudah melaksanakan tindak balas dasar, termasuk subsidi tenaga, sokongan perniagaan dan bantuan tunai, ILO mengkritik kerangka global semasa sebagai “tidak sekata, berpecah-pecah” dan sangat terbatas susulan ruang dasar fiskal yang terhad.

    Bagi mengelakkan kejutan tenaga sementara bertukar menjadi kemunduran kekal terhadap hak buruh global, organisasi itu menggesa tindak balas segera terhadap krisis yang “berpusatkan pekerjaan” dan berteraskan dialog sosial.

    ILO menggesa pemimpin dunia memastikan langkah dasar yang akan dilaksanakan memberi keutamaan dan perlindungan kepada golongan paling rentan, termasuk pekerja tidak formal, pekerja migran, pelarian, dan perniagaan kecil, sambil mengimbangi kestabilan makroekonomi dengan perlindungan pekerjaan yang kukuh.

    [Baca berita asal]

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah